Isnin, 24 Jun 2019 | 4:02pm
PENASIHAT Bahasa, Majlis Perundingan Melayu, Prof Datuk Dr Awang Sariyan pada sidang media Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan yang mewakili 16 badan bukan kerajaan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Jaminan Maszlee diragui Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Jaminan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bahawa dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak akan dikembalikan meragukan kerana Program Dwibahasa (DLP) masih berlangsung.

Penasihat Bahasa, Majlis Perundingan Melayu, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, berkata DLP berpotensi dilangsungkan ke semua sekolah secara paksaan bagi membolehkan pelaksanaan PPSMI dikembalikan, meskipun pada dasarnya program berkenaan dibuat secara sukarela.

Ini disebabkan, katanya, ketika ini DLP dilaksanakan di 1,303 sekolah di seluruh negara sejak diperkenalkan pada 2016.

“Maszlee dan Kementerian Pendidikan seharusnya menjelaskan apakah maksud program baharu yang akan dilaksanakan itu?

“Ini bagi memastikan ia bukan jelmaan PPSMI dalam apa pun kerangka dan modelnya,” katanya dalam sidang media Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan yang mewakili 16 badan bukan kerajaan di sini, hari ini.

Awang berkata, apa yang paling membimbangkan ialah program baharu itu nanti hanya akan membawa roh PPSMI yang sudah pun ditolak dan dibuktikan kegagalannya menerusi kajian empirikal.

Maszlee sewaktu melancarkan sambutan ulang tahun ke-63 Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan kementeriannya akan melaksanakan inisiatif baharu bagi meningkatkan kualiti pendidikan, termasuk pengajaran sains dan matematik untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Awang berkata, PPSMI yang dimulakan pada 2003 sebelum dimansuhkan pada 2012 antara sebab berlakunya kemerosotan jumlah pelajar, terutama dalam kalangan Bumiputera mengambil subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di peringkat universiti.

Keseluruhan jumlah pelajar yang mengambil bidang STEM hanyalah seramai 44 peratus pada 2018, berbanding 49 peratus pada 2012.

Awang berkata, penolakan PPSMI atau apa-apa sahaja program seumpamanya bukan bermaksud bahasa Inggeris tidak penting.

Katanya, bahasa Inggeris seharusnya ditingkatkan penguasaannya menerusi perancangan semula sistem sukatan pelajaran subjek itu, bahan pengajaran, pembelajarannya dan juga kaedah latihan guru.

Berita Harian X