Khamis, 11 Julai 2019 | 11:21am
REKTOR UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (kiri) bersalaman dengan Presiden baharu universiti, Dr Mohd Daud.

Dr Mohd Daud Presiden baharu UIAM

KUALA LUMPUR: Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan atas pelantikan Datuk Dr Mohd Daud Bakar sebagai Presiden UIAM kelapan, bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Pusat Komunikasi, Advokasi dan Promosi UIAM, hari ini.

Dr Mohd Daud ialah bekas Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) universiti itu sejak 2002 hingga 2005.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai pensyarah pada 1989 dan mempunyai pengalaman luas mengenai persekitaran UIAM memandangkan pernah menjadi tenaga pengajar di situ.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) itu juga banyak menganggotai Badan Penasihat Syariah institusi kewangan Islam di dalam dan luar negara.

Di samping itu, Dr Mohd Daud turut mengasaskan syarikat khidmat nasihat kewangan Islam iaitu Amanie Advisors.

Beliau juga pernah dianugerahkan gelaran Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul oleh Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 2014.

Dr Mohd Daud menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Korok Baru, Alor Star, Kedah (1970-1976), Maktab Mahmud (1977-1979) dan Kolej Islam Klang (1980-1983).

Seterusnya, melanjutkan pengajian dalam bidang Syariah di University of Kuwait (1983-1988) dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of St Andrews, United Kingdom (1990-1993).

Beliau turut memperoleh Ijazah Sarjana Muda Jurisprudens dari Universiti Malaya (1996-2002), malah menjadi antara pendukung terbilang kewangan Islam.

Melalui pelantikan itu, Dr Mohd Daud boleh memberi khidmat nasihat dalam pembangunan UIAM, ke arah menjadikan universiti dihormati masyarakat di dalam negara dan antarabangsa.

Perkara itu sejajar dengan kehendak pemegang taruh UIAM yang terdiri daripada ahli negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) khususnya dan negara lain amnya.

Jawatankuasa Pengurusan Universiti (UMC), kakitangan akademik, pentadbiran dan warga UIAM turut mengucapkan tahniah atas pelantikan berkenaan.

Pada masa sama, UIAM menyampaikan penghargaan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik atas sumbangan serta jasa beliau sepanjang menerajui universiti, sebagai presiden ketujuh yang lalu.

606 dibaca
Berita Harian X