Jumaat, 2 Ogos 2019 | 5:17pm
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin (tengah) ketika menyaksikan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar bertukar dokumen dengan Pengarah Urusan, McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalin kerjasama di bawah program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di UTM di Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

UTM tawar pekerja McDonald's daftar program MBA

PUTRAJAYA: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan McDonald’s Malaysia, hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi menjalin kerjasama di bawah program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di universiti itu.

Perjanjian itu bertujuan merapatkan jurang industri-akademia yang menyaksikan moduI latihan McDonald’s Malaysia diserap sebagai sebahagian program MBA ditawarkan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHlBS).

Ini sekali gus memberi peluang kepada pekerja McDonald’s Malaysia untuk menyertai program MBA ditawarkan di bawah AHIBS apabila mereka tamat program latihan dalaman sedia ada.

Majlis menandatangani MoA itu disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin dan dihadiri Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar serta Pengarah Urusan, McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar.

Dalam ucapannya, Azmir berkata, McDonald’s Malaysia teruja bekerjasama dengan UTM dalam sistem pemindahan kredit untuk program MBA.

“Ini menunjukkan kualiti program latihan McDonald’s Malaysia yang menumpukan kepada keterampilan kepemimpinan, kepuasan pelanggan, kepintaran dalam perniagaan dan kemahiran insaniah.

“Ia juga bertujuan menyediakan warga kerja kami dengan peluang perkembangan kerjaya dan kemajuan pada setiap peringkat,” katanya.


Majlis Peyampaian Sijil Perakuan Penerima Geran Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS). - Foto Adzlan Sidek

Kurikulum latihan pengurusan dan kepemimpinan McDonald’s Malaysia, yang dibangunkan oleh Universiti Hamburger McDonald, mengambil masa kira-kira tiga hingga empat tahun untuk tamat, iaitu tempoh sama seperti ijazah.

Berdasarkan hasil pemetaan modul, pengurus McDonald akan layak untuk program pemindahan kredit ini mulai Februari 2020.

Sementara itu, Dr Wahid berkata, UTM menekankan hubungan industri yang kukuh dan pihaknya secara aktif menyokong program usaha sama relevan, berdaya saing dan inovatif.

“McDonald’s Malaysia sememangnya mempunyai pendekatan latihan dan pembangunan pekerja yang terperinci.

“Dalam usaha sama ini, pakar UTM akan memberi nasihat untuk memantapkan program latihan dalaman McDonald’s Malaysia berdasarkan program MBA UTM yang diiktiraf.

“Hasilnya akan menjadi input profesional untuk menghasilkan pendekatan holistik dalam pembangunan bakat, selain kemungkinan pemindahan kredit yang memudahkan kemasukan McDonald’s Malaysia ke MBA UTM,” katanya.

Berita Harian X