Sabtu, 3 Ogos 2019 | 5:29pm
Majlis Konvokesyen UNITEN ke-22, di Bangi, hari ini. - NSTP/Rosela Ismail

70 graduan cemerlang UNITEN terima anugerah

BANGI: Seramai 70 graduan cemerlang peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pascasiswazah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menerima 77 anugerah pada Majlis Konvokesyen UNITEN ke-22 dan Majlis Anugerah Industri Graduan Cemerlang 2019, di sini, hari ini.

Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Tun Abdul Rahman Abbas, berkata anugerah itu ditaja oleh 27 syarikat yang mempunyai jalinan hubungan industri dengan UNITEN bagi meraikan dan memberi penghargaan kepada graduan yang cemerlang dalam bidang pengajian serta aktif dalam pembabitan kokurikulum.

Katanya, konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 2,317 orang pelajar bergraduat.

“Dalam meneruskan agenda pendidikan negara, UNITEN sentiasa menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran yang setanding dengan universiti terkemuka dunia.

“Melalui pusat pengajaran dan pembelajaran UNITEN menyediakan prasarana yang menyokong bentuk pembelajaran alaf baru berasaskan teknologi dikenali sebagai ‘blended learning’. Malah 50 peratus subjek di UNITEN diajar dengan menggunakan kaedah ini.

“Pengintegrasian blended learning dalam pengajaran dan pembelajaran adalah pendekatan yang mampu meningkatkan kualiti akademik pelajar, membantu pengurusan masa dan menghasilkan graduan yang cemerlang melalui pensyarah dinamik dan adaptif,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UNITEN ke-22, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Maggie dan Pro Canselor UNITEN, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Istimewa majlis kali ini ialah cucu kepada Abdul Rahman, iaitu Nik Akmal Nik Mohd Roseli, 23, turut bergraduat.

Nik Akmal tidak menafikan kadang kala ada tekanan sebagai cucu kepada seorang ahli akademik untuk tampil lebih cemerlang dan berkredibiliti.

Graduan kejuruteraan mekanikal ini bagaimanapun hanya melakukan yang terbaik dan berusaha sebaik mungkin.

“Beliau tidak memberi tekanan yang kuat sebaliknya memberi rangsangan untuk saya belajar bersungguh-sungguh.

“Belajar di sini sangat menyeronokkan dengan sokongan ibu bapa dan rakan membuatkan perjalanan ini mudah.

“Saya kini sudah tamat belajar dan mendapat tawaran sebagai juruterbang kadet di syarikat penerbangan Singapura,” katanya.

Penerima Anugerah Canselor, Soo Mei Chia, Ahmad Amin Ismail @ Ibrahim dan Jakir Hussains pada Majlis Konvokesyen UNITEN ke-22, di Bangi. - NSTP/Rosela Ismail

Sementara itu, penerima Anugerah Canselor Emas, Ahmad Amin [email protected] Ibrahim, 22, berkata beliau menggunakan pendekatan untuk mengimbangkan pelajaran dan aktiviti kokurikulum bagi memastikan keputusan cemerlangnya itu tidak hanya diatas kertas.

“Ya, dulu saya belajar secara solo tetapi saya lihat perkara itu hanya memberi keuntungan kepada saya saja jadi saya berkongsi dengan rakan. Selain menjaga hubungan dengan Allah, pensyarah dan ibu bapa saya juga rajin membuat aktiviti komuniti.

“Kita sendiri akan rasa seronok apabila dapat membantu orang lain. Ini memberi kepuasan berganda dan anugerah yang saya terima ini dianggap rezeki hasil usaha dan doa,” katanya yang mengambil kursus ijazah sarjana muda dalam perakaunan.

Bagi penerima Anugerah Naib Canselor, Soo Mei Chia, 22, yang mengikuti kursus ijazah sarjana muda, komputer dan informasi, berkata rangsangan positif daripada penasihat akademiknya banyak membantu menguatkan semangat.

“Galakkan untuk memasuki UNITEN adalah daripada guru sekolah dan kakak saya sendiri dan ia satu keputusan yang sangat tepat.

“Sokongan moral daripada keluarga, kawan dan pensyarah amat penting bagi saya kerana aura positif merangsang pembangunan individu,” katanya.

Selain itu, Tharik Jakir Hussein, 22, yang menerima Anugerah Pelajar Antarabangsa Terbaik dari Fakulti Teknologi Maklumat pula berkata UNITEN sememangnya universiti berprestij.

“Saya berasal dari India namun menetap di Arab Saudi. Saya bangkit daripada seorang pelajar biasa kepada luar biasa.

“Pada awalnya lebih 20 universiti menolak permohonan saya, apabila UNITEN menerima kemasukan saya, ia adalah peluang keemasan dan saya buktikan kebolehan diri ini,” katanya.

Berita Harian X