KUALA NERUS: Kurang pendedahan kepada pelajar tempatan dipercayai menjadi punca tidak ramai yang memilih bidang maritim itu sehingga menyebabkan kepakaran dalam sektor itu masih didominasi kalangan profesional asing.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Noor Azuan Abu Osman, berkata pelajar sekolah di negara ini kurang diberi pendedahan bidang kelautan yang sebenarnya menyediakan peluang pekerjaan meluas selain gaji yang tinggi.
Justeru katanya, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai institusi pengajian tinggi yang memberi banyak pengkhususan dalam bidang kelautan dan maritim menggalas tanggungjawab besar untuk merealisasikan pembangunan modal insan dalam bidang itu.
“Bidang kelautan bukanlah profesion baharu di negara ini sebaliknya generasi muda hari ini kurang berminat untuk bekerja di lapangan, ...mungkin pelajar kurang diberi pendedahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pada majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa Kelautan, Kejuruteraan Teknologi dan Kelestarian Alam Sekitar (I-OCEANS) di sini, hari ini yang dirasmikan Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Datuk Baharin Abdul Hamid.
Yang turut hadir, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan, Prof Madya Dr Mohammad Fadli Ahmad.
Katanya, dalam menyahut hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maritim, UMT mewujudkan pusat pengajian baharu, Fakulti Pengajian Maritim untuk memberi lebih fokus dalam bidang kelautan.
“Dengan penubuhan fakulti baharu ini, pakar, penyelidik dan pelajar lebih mudah untuk berinteraksi,” katanya.