Rabu, 7 Ogos 2019 | 5:36pm
Guru Bahasa Inggeris, Samuel Isaiah, 32, memainkan alat muzik ukulele pada majlis perpisahan, di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Guru pencetus 'sekolah pokok' bakal lanjut pelajaran di AS

PEKAN: Suasana pilu menyelubungi Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, di sini, apabila seorang gurunya yang pernah memperkenalkan sekolah pokok untuk murid Orang Asli sehingga tular, tamat bertugas pada hari ini.

Guru Bahasa Inggeris, Samuel Isaiah, 32, yang sudah lapan tahun berkhidmat di sekolah itu bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang Kepimpinan dan Dasar Pendidikan di The State University of New York, Amerika Syarikat (AS), selama dua tahun.

Beliau yang menerima Anugerah Guru Adiwira, Mei lalu, memaklumkan bahawa keputusannya itu bertujuan membawa perubahan dalam sistem pembelajaran untuk anak Orang Asli pada masa depan.

“Murid di sini banyak mengubah hidup dan membuka mata saya untuk membantu mereka dalam pendidikan. Selama saya di sini, mereka ibarat anak sendiri yang dahagakan perhatian dalam pelajaran.


Guru Bahasa Inggeris, Samuel Isaiah, 32, memeluk serta memberi semangat kepada murid sebelum majlis perpisahan, di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

“Sukar untuk saya menggambarkan perasaan sekarang selepas bertungkus lumus membuat perubahan membantu murid sekolah ini menguasai Bahasa Inggeris dan menanam minat mereka hadir ke sekolah,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Kegigihan usaha beliau berulang-alik hampir 200 kilometer setiap hari bagi membantu muridnya melalui teknik belajar dengan muzik dan sekolah pokok, meraih perhatian ramai apabila tular dalam media sosial sejak awal tahun ini.

“Selama di sini, saya banyak mendapat sokongan daripada guru lain dan pentadbir sekolah. Malah, saya menolak tawaran bertukar ke sekolah lain kerana mahu membantu murid di sini mendapat pendidikan setaraf sekolah di bandar.

“Bidang pengajian yang saya ambil ini pun untuk membentuk sistem pendidikan anak Orang Asli yang jauh ketinggalan. Saya mahu berbakti kepada masyarakat Orang Asli selepas ini supaya mereka memperoleh pendidikan berkualiti,” katanya.

Samuel memaklumkan, idea sekolah pokok yang dicetuskan beliau turut diguna pakai seorang guru di SK Balar di Gua Musang, Kelantan, bagi membantu murid Orang Asli.

Malah, beliau berkata, peralatan muzik Ukulele digunakan dalam usaha mengajar muridnya, turut diserahkan kepada pendidik di SK Balar berikutan tiada guru di SK Runchang yang boleh mengajar menggunakan instrumen itu.

“Saya sedih apabila ada bekas murid saya hanya belajar separuh jalan di sekolah menengah sebab tidak mendapat perhatian seperti di SK Runchang.


Guru Bahasa Inggeris, Samuel Isaiah, 32, memeluk murid pada majlis perpisahan, di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

“Saya tidak mahu perkara sebegini berlaku lagi pada masa depan dan berharap selepas tamat pengajian nanti, saya akan kembali berbakti kepada anak Orang Asli bagi menarik minat mereka meneruskan persekolahan hingga tamat,” katanya.

Mengaku sukar melupakan kenangannya di SK Runchang kerana tidak pernah bertukar sekolah, Samuel berkata, murid Orang Asli senang dibentuk jika guru mahu melakukan perubahan.

“Sebagai guru, harus menyayangi mereka dan ia perlu bermula dari hati. Saya menghargai setiap kenangan yang mereka berikan kepada saya. Mereka menukar pemikiran saya daripada tidak sukakan sekolah pedalaman kepada menyayangi mereka.

“Itu yang membuatkan saya sedih meninggalkan mereka. Namun demi masa depan lebih baik untuk mereka, saya ingin melakukan perubahan dalam sistem pendidikan anak Orang Asli,” katanya yang tidak menafikan bukan mudah untuk mengubah persepsi masyarakat Orang Asli terhadap pendidikan.

1168 dibaca
Berita Harian X