Jumaat, 9 Ogos 2019 | 10:05pm
PROF Dr Noor Azizi berkongsi maklumat kepakaran yang ada di UMK bersama Wan Suraya. - Gambar ehsan UMK

UMK rancang kerjasama pacu DKN

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) komited menjalin kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan bagi memacu segmen pembangunan keusahawanan negara.

Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail, berkata kerjasama ini diharap meletakkan UMK di jajaran yang betul sebagai universiti keusahawanan yang signifikan dengan Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030.

Katanya, DKN 2030 meletakkan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan, sekali gus selari dengan kewujudan UMK sebagai universiti berteraskan keusahawanan.

“Dasar kementerian juga memartabatkan industri halal dan perkara ini sambut baik UMK. Ini selaras dengan penubuhan Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (INSPEK) yang mempunyai ekosistem dalam membangunkan projek golongan B40 dan asnaf.

“Ini termasuk peranan Institut Keusahawan UMK (UMKEI) yang memberi tumpuan khusus kepada projek industri halal yang boleh diperkasakan melalui kerjasama UMK dan kementerian,” katanya selepas melawat Kementerian Pembangunan Usahawan, hari ini.

Rombongan UMK diketuai Noor Azizi turut mengadakan pertemuan dengan ketua agensi kementerian seperti daripada Bank Kerjasama Rakyat Berhad (Bank Rakyat), TEKUN Nasional, SMEcorp, SME Bank, Institut Koperasi Malaysia, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Delegasi UMK disambut oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wan Suraya Mohd Razi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha, Pembangunan dan Pemantauan Keusahawanan, Muhammad Razman Abu Sama; Ketua Pegawai Operasi Bank Rakyat, Datuk Asmuni Sudin; Pengurus Kanan MAGIC, Andi Suswandi Shamsuddin; Timbalan Pengarah SMECorp, Nik Syahril Nik Mahmood; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof Tan Sri Dr Arham Abdullah dan Pengarah Institut Keusahawanan UMKEI, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad,

Sementara itu, Wan Suraya positif untuk bekerjasama dengan UMK bagi menganjurkan Malam Anugerah Keusahawanan Sosial.

Nik Maheran pula berkata, anugerah keusahawanan adalah anugerah berprestij yang di rancang pada tahun depan bermatlamat memartabatkan keusahawanan sosial di negara ini.

468 dibaca
Berita Harian X