Sabtu, 10 Ogos 2019 | 3:01pm
TIGA penuntut dari Shaoxing University Yuanpei College, China, membancuh simen ferro mendirikan papan tanda di Sekolah Kebangsaan Kampung Senari. NSTP/Mohd Amirul Faiz Ahmad

UNIMAS, Shaoxing University Yuanpei College jalin kerjasama

SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Shaoxing University Yuanpei College, China, menjalinkan kerjasama pembangunan intervensi strategik khusus dalam aspek pendidikan dan pembangunan komuniti.

Pengarah Pejabat Canselori dan Hubungan Antarabangsa (UNIMAS Global), Azlan Ramli, berkata kehadiran 15 penuntut dari Shaoxing University Yuanpei College bagi menjayakan projek tanggungjawab sosial di negeri ini membuktikan keakraban dalam melaksanakan hubungan strategik di peringkat antarabangsa.

“Penuntut dari Shaoxing University Yuanpei College, bersama UNIMAS Global dan penuntut UNIMAS semalam menyertai projek kemasyarakatan di Sekolah Kebangsaan Kampung Senari, Petra Jaya.

“Antara sumbangan dalam projek ini termasuk menaik taraf galeri sekolah dan mengadakan aktiviti dan ceramah motivasi untuk murid Tahun Empat dan Lima,” katanya di sini hari ini.

Antara aktiviti lain dilaksanakan adalah membaik pulih papan tanda sekolah SK Kampung Senari menggunakan simen ferro dan juga sumbangan barang elektrik.

Azlan berkata, kehadiran 15 penuntut antarabangsa itu adalah kumpulan kedua menyertai program musim panas anjuran UNIMAS.

“UNIMAS mahu menjadi institusi yang berada dekat bersama komuniti kerana kami juga mempunyai tanggungjawab menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.

Katanya, lebih banyak aktiviti kemasyarakatan sudah dirancang demi kualiti hidup masyarakat, selain membentuk komuniti mapan yang berupaya menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

114 dibaca
Berita Harian X