Rabu, 14 Ogos 2019 | 11:22am
TIMBALAN Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin (dua kiri) menyaksikan hasil rekaan pelajar sekolah sempena Karnival STEM & Teknologi Hijau Negeri Pahang bertempat di Dewan Astaka UMP Gambang. - Foto ihsan UMP

Karnival STEM UMP cungkil bakat pelajar sekolah

KUANTAN: Penganjuran Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Teknologi Hijau peringkat negeri mendapat sambutan baik dengan penyertaan kira-kira 2,000 pelajar sekolah yang diadakan di Dewan Astaka Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, berkata program anjuran UMP dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang itu bertujuan memupuk minat dalam membangunkan potensi dan memperkasakan daya saing pelajar dalam subjek berkaitan STEM.

“Terdapat 15 program dijalankan sepanjang karnival ini berlangsung antaranya Pertandingan Rekacipta dan Inovasi STEM, Pertandingan Roket Air, Pertandingan Projek Video Digital STEM, Pertandingan Kapal Terbang Kawalan Jauh, Pertandingan Inovasi Biojisim dan Pertandingan Rekabentuk Rumah Hijau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, UMP sentiasa komited dan konsisten mendukung agenda Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memperkasakan komponen STEM melalui pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Kita sentiasa mencari peluang untuk mengadakan bengkel atau program berkaitan STEM di sekolah terpilih atau di UMP bagi menarik minat murid-murid sekolah rendah dan menengah dalam subjek STEM,” katanya.

Katanya, karnival itu juga berjaya menarik penyertaan pelbagai peringkat umur, termasuk pelajar sekolah seawal usia enam tahun dan membuktikan program berkaitan pendidikan STEM ini mampu menembusi pelbagai kumpulan sasaran jika dijalankan dengan lebih kreatif dan interaktif.

179 dibaca
Berita Harian X