Jumaat, 16 Ogos 2019 | 10:35am
Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dg Irme Hafziany Ag Yusop, 33, menerima cenderamata daripada Timbalan Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni, Mohd Raffie Janau (kiri) sempena Program Jejak Alumni anjuran Pusat Kerjaya dan Alumni UMS, di kedainya di Kota Kinabalu. - Foto ihsan ALUMNI UMS

Graduan UMS raih RM4 juta setahun

KOTA KINABALU: Fokus dan percaya dengan matlamat menjadi pegangan alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dg Irme Hafziany Ag Yusop, 33, yang terbabit dalam perniagaan bakeri serta kafe.

Lebih membanggakan graduan Sarjana Muda Pendidikan itu kini mampu meraih pendapatan hingga RM4 juta setahun melalui perniagaan Kak Kiah Coffee House.

Ditemui dalam Program Jejak Alumni, di kedainya, di sini, beliau berkata, perniagaan itu dimulakan oleh ibunya yang juga ibu tunggal pada 2008, dengan menjual kek secara kecil-kecilan.

“Ketika itu, penjualan dibuat dari rumah sahaja dan sekadar tertumpu di bahagian Papar serta kadangkala di bazar, demi menampung kehidupan sekeluarga.

“Pada 2013, berbekalkan kesabaran dan semangat yang tinggi, saya mula mengorak langkah mengembangkan perniagaan ibu ke peringkat yang lebih luas dengan memperkenalkan ‘Cake in Jar’ di internet serta membuat penjualan secara bayaran tunai (COD.

“Apabila permintaan semakin meningkat, saya membuka dan menjalankan perniagaan Kak Kiah Cake House dan juga Kak Kiah Coffee House. Kini, perniagaan ini bukan sahaja dijalankan oleh saya sendiri, malah bersama keluarga,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Keusahawan dan Kerjaya) Pusat Kerjaya dan Alumni UMS, Mohd Raffie Janau dan Ketua Bahagian Alumni, Mardena Jiwan.

Dg Irme, berkata sebanyak empat cawangan Kak Kiah Cofee House dan satu kilang pemprosesan serta sebuah kios Kak Kiah Cake House beroperasi ketika ini.


Pelbagai jenis kek yang dijual di kedai Kak Kiah Cake House, di Kota Kinabalu. - Foto ihsan ALMUNI UMS

“Kami juga berkongsi rezeki bersama 50 ejen di Sabah dengan memasarkan Kak Kiah Cake Freezer yang boleh didapati di premis terpilih di Sabah,” katanya sambil menambah cawangan di UMS akan beroperasi bulan depan.

Beliau berkata, impiannya ialah jenama Kak Kiah dikenali pada peringkat Asia lima hingga 10 tahun akan datang.

Sementara itu, Mohd Raffie berkata, program itu bertujuan menjejaki alumni UMS yang berjaya dalam kerjaya untuk mengekalkan hubungan.

“Program ini juga untuk berkongsi kejayaan alumni sama ada dalam bidang keusahawanan, bekerja dengan kerajaan atau swasta atau politik, secara tidak langsung boleh memberi inspirasi atau membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UMS,” katanya.

3633 dibaca
Berita Harian X