Khamis, 22 Ogos 2019 | 12:25pm

4,627 pelajar ditawarkan pengajian di UUM

SINTOK: Seramai 4,627 pelajar baharu ditawarkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk sesi A191 yang akan memulakan pendaftaran pada 3 September ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali, berkata kesemua pelajar itu akan ditempatkan di 15 Inapan Siswa (Inasis) di kampus berkenaan.

Katanya, daripada 4,627 pelajar terbabit, seramai 4,430 adalah pelajar tempatan dan selebihnya iaitu 197 pelajar antarabangsa.

“Kesemua pelajar baharu ini juga akan dibantu oleh 480 ahli jawatankuasa sepanjang minggu suai kenal yang akan berlangsung nanti.

“Antara pengisian sepanjang minggu suai kenal ialah program bersama pusat pengajian, majlis ikrar, bersama Timbalan-timbalan Naib Canselor, wacana #undi 18, bersama Pusat Kokurikulum dan malam apresiasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Hendrik berkata, bagi memberi semangat kepada pelajar baharu, UUM akan membekalkan mereka beg, bekas makanan, botol air, tali leher (lelaki), bekas peralatan menulis dan buku panduan.

Katanya, kakitangan JHEP kini sibuk menyediakan kesemua peralatan berkenaan sebelum diserahkan kepada pelajar bulan depan.

397 dibaca
Berita Harian X