Rabu, 4 September 2019 | 12:42pm
CALON mengaminkan doa sebelum menduduki UPSR di SKJalan Empat, Bandar Baru Bangi. Foto: Zulfadhli Zulkifli NSTP.
IBU bapa yang hadir memberi semangat kepada calon sebelum masuk ke dalam dewan peperiksaan UPSR di SK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi. Foto: Zulfadhli Zulkifli NSTP.

Yakin keberkesanan sisipan Didik, BH

BANGI: Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, di sini, yang sudah melanggan sisipan BH Didik hampir 15 tahun yakin dengan keberkesanan akhbar itu dalam membantu meningkatkan kecemerlangan akademik murid.

Guru Besarnya, Ainon Mohamed Salehuddin, berkata, sekolahnya melanggan lebih 17,000 naskhah akhbar BH sepanjang tahun ini dan sisipan BH Didik dimanfaatkan di dalam kelas untuk kegunaan murid Tahun Lima dan Enam.

Beliau berkata, sebagai sekolah yang melanggan sisipan BH Didik terbanyak sepanjang tahun lalu, pihaknya amat yakin dengan keberkesanan akhbar berkenaan dalam membantu persediaan calon bagi menduduki UPSR di sekolah itu setiap tahun.

“Kandungan sisipan BH Didik ternyata membantu memberi impak luar biasa kepada calon UPSR setiap tahun, malah baru-baru ini, sekolah mencatatkan keputusan percubaan yang cemerlang apabila seramai 38 murid berjaya memperoleh keputusan 6A,” katanya ketika ditemui pada hari pertama UPSR, hari ini.

Terdahulu Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), Kumpulan Sokongan Ibu bapa (KSIB) dan guru menyempurnakan solat hajat dan majlis bacaan Yasin bagi memohon keberkatan dan kejayaan untuk calon UPSR di sekolah berkenaan.

Majlis yang berlangsung kira-kira jam 8.30 pagi itu disertai lebih 100 ibu bapa dan guru.

Seawal jam 6.45 pagi, guru dan ibu bapa turut menyambut semua calon UPSR di pintu masuk sekolah berkenaan, selaras dengan amalan Guru Penyayang yang dilaksanakan sepanjang tahun.

Seramai 362 calon menduduki UPSR di sekolah berkenaan dengan tiga calon daripadanya adalah Calon Berkeperluan Khas (CBK) dan seorang calon dikuarantin kerana mengalami beguk.

Ainon berkata, pihak sekolah dan ibu bapa turut mengenakan pakaian tema berwarna biru bagi memberi sokongan kepada Panitia Bahasa Melayu iaitu bertepatan dengan kertas peperiksaan pertama hari ini iaitu Bahasa Melayu Pemahaman dan Bahasa Melayu Penulisan.

Katanya, PIBG dan KSIB turut mengambil inisiatif menyediakan sarapan dan makan tengah hari untuk semua calon UPSR sepanjang peperiksaan berlangsung di sekolah itu yang dijadualkan berakhir pada 11 September ini.

86 dibaca
Berita Harian X