Rabu, 4 September 2019 | 1:00pm
AISYAH Arryna yang menghidap penyakit saraf dan otot ditemani ibunya, Lily Suzana Muhammad untuk menduduki UPSR di SK Bukit Rimau. Foto: Saddam Yusoff NSTP.
AISYAH Arryna ditemani ibunya, Lily Suzana Muhammad. Foto: Saddam Yusoff NSTP.
AISYAH Arryna yang menghidap penyakit saraf dan otot hadir untuk menduduki UPSR di SK Bukit Rimau. Foto: Saddam Yusoff NSTP.

Persiapan rapi biarpun hadapi masalah fizikal

SHAH ALAM: Masalah saraf dan otot dihadapi Aisyah Arryna Zul Hatta, 12, tidak melemahkan semangatnya membuat persediaan rapi untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019.

Dia adalah antara 330 calon Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rimau dan 87,483 calon di seluruh Selangor yang menduduki peperiksaan itu yang bermula hari ini.

Ibunya, Lily Suzana Muhammad, 41, berkata anak kedua daripada empat adik-beradik itu disahkan menghidap penyakit dikenali Congenital Muscular Dystrophy sejak lahir yang menyebabkan pergerakannya terbatas dan mudah letih.

“Bagaimanapun, saya dan suami bersyukur kerana Aisyah Arryna menunjukkan minat mendalam terhadap akademik dan prestasi membanggakan, termasuk memperoleh keputusan 6A pada ujian percubaan UPSR lalu.

“Walaupun fizikal terhad sehingga terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda setiap hari ke sekolah, namun keupayaannya untuk belajar sama seperti rakan seusia, jadi sebagai ibu bapa kami sentiasa memberikan sokongan dan menggalakkan kejayaan anak kami,” katanya ketika ditemui selepas menghantar anaknya sempena hari pertama UPSR di SK Bukit Rimau, di sini.

Ditanya mengenai cara Aisyah Arryna belajar, Lily Suzana memberitahu, anaknya akan memberi fokus di dalam kelas dan rajin mengulangkaji pelajaran di rumah.

Katanya, biarpun ada kala tidak dapat ke sekolah kerana masalah kesihatan dihadapi, dia akan melakukan latihan di rumah untuk memastikan tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Guru Bahasa Melayu SK Bukit Rimau, Soraya Nita Othman, berkata biarpun mengalami masalah fizikal, Aisyah Arryna adalah seorang pelajar aktif di dalam kelas yang sering tampil menjawab soalan diberikan, selain rajin mengambil bahagian dalam aktiviti bilik darjah.

“Saya mengajarnya ketika di tahun empat dan tahun lima, dia memang bijak serta rajin, termasuk hebat berdialog.

“Antara usaha dilakukannya adalah memberi fokus di dalam kelas, bertanya kepada guru dan membuat latihan diminta, termasuk melalui sisipan BH Didik yang ternyata sangat membantu pencapaiannya,” katanya yang juga Guru Perpustakaan dan Media.

168 dibaca
Berita Harian X