Jumaat, 20 September 2019 | 4:53pm
NAIB Canselor Universiti Malaya ,Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

UM aktifkan kelas e-learning

KUALA LUMPUR: Susulan jerebu melanda negara ini sehingga mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ke tahap sangat tidak sihat di sesetengah kawasan, Universiti Malaya (UM) mengambil inisiatif mengaktifkan mod pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian (e-learning).

Naib Canselornya, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim, berkata kelas e-learning itu diaktifkan selepas UM menangguhkan sesi kuliahnya secara fizikal sejak Rabu lalu susulan jerebu kerana prihatin terhadap kesihatan penuntutnya.

Beliau berkata, semua Pusat Tanggungjawab (PTj) Akademik mengaktifkan e-learning sepenuhnya dengan menggunakan Student Powered e-Collaboration Transforming UM (SPeCTRUM) supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan dalam tempoh yang diperlukan.

“Keputusan menangguhkan kuliah secara bersemuka sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak ini selaras dengan arahan dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, dan dibuat setelah bacaan IPU bagi kawasan Petaling Jaya diklasifikasikan sebagai sangat tidak sihat.

“Ini kali pertama UM melaksanakan mod e-learning secara menyeluruh di semua PTj Akademik. Pelaksanaan SPeCTRUM bermula membabitkan beberapa fakulti dan kami menambah jumlah fakulti secara berperingkat.

“Tindakan penambahbaikan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa terhadap sebarang kekurangan yang ditemui dalam sistem berkenaan kerana ini adalah inovasi baharu dan kami percaya situasi jerebu ini memberikan peluang terbaik untuk SPeCTRUM ini diuji sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Mengikut Prosedur Jerebu UM 2019, Bilik Gerakan Bencana akan diaktifkan dan semua aktiviti luar bangunan yang membabitkan pelajar perlu dihentikan serta aktiviti kakitangan yang mempunyai keperluan penting sahaja dibenarkan apabila bacaan IPU melebihi 200.

Abdul Rahim berkata, Bahagian Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (OSHE) UM sentiasa memantau bacaan IPU dengan maklumat terkini mengenai jerebu hanya dikeluarkan secara rasmi oleh Bilik Gerakan Bencana.

“Saya menyarankan supaya penuntut dan kakitangan terutama yang mempunyai alahan, penyakit asma, sakit jantung dan wanita hamil untuk mendapatkan nasihat pengamal perubatan berdaftar dengan segera sekiranya terdapat simptom alahan, batuk, selsema, bersin, sesak nafas, sakit mata atau lemah badan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Prof Dr Kamila Ghazali, berkata mod e-learning ini pernah dilaksanakan melalui minggu e-learning sejak 2017 sebagai salah satu persediaan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan UM bagi menghadapi situasi kecemasan seperti jerebu.

Pada masa sama, Kamila berkata, sepanjang pelaksanaan mod e-learning, semua aktiviti pembelajaran seperti penghantaran kandungan kuliah, interaksi, dan penilaian akan dilakukan melalui SPeCTRUM atau aplikasi atas talian lain yang bersesuaian.

“Pengajaran juga boleh dilaksanakan menggunakan media atas talian seperti Youtube, Facebook Live, Skype for Business atau alat persidangan web lain yang bersesuaian dan sebagai alternatif, pensyarah juga boleh menyampaikan pengajaran melalui aplikasi atas talian menggunakan video pra-rakaman sendiri.

“Interaksi dengan pelajar dan antara pelajar boleh dicapai melalui fungsi sembang dan forum SPeCTRUM, atau untuk sesi yang lebih interaktif, menggunakan ‘dropbox paper’, ‘word online’, atau dokumen Google,” katanya.

Berita Harian X