Selasa, 1 Oktober 2019 | 12:47pm
Calon pelajar PT3 memasuki dewan peperiksaan di SMK Seksyen 18, Shah Alam. - NSTP/Sadam Yusoff

Kelas tambahan percuma bantu calon PT3

SHAH ALAM: Pengorbanan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, di sini yang sanggup mengendalikan kelas tambahan secara sukarela dan percuma termasuk pada hujung minggu, ternyata meningkatkan penguasaan dan persediaan 261 calonnya menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2019.

Penolong Kanan Pentadbiran, Nordin Ahmad Kadri, berkata menjelang beberapa bulan sebelum PT3, pelajar Tingkatan Tiga mengikuti kelas tambahan yang diadakan sebagai sesi ulang kaji saat akhir sebelum peperiksaan.

Katanya, kelas tambahan itu diadakan bertujuan mengatasi kelemahan dan menggalakkan pemahaman mata pelajaran calon.

“Pengendalian kelas bermula jam 3 hingga 5 petang itu membabitkan mata pelajaran sukar, seperti Matematik dan Sejarah.

“SMK Seksyen 18 sentiasa berusaha mengendalikan program intensif bagi menggalakkan penguasaan akademik pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas, kelas tambahan mingguan serta aktiviti luar kelas, seperti kem motivasi.


Penolong Kanan Pentadbiran SMK Seksyen 18, Nordin Ahmad Kadri. - NSTP/Sadam Yusoff

“Pada hari PT3 ditunda semalam pun, pihak sekolah menggunakan sepanjang waktu persekolahan sebagai sesi ulang kaji dan latihan,” katanya ketika ditemui pada hari pertama PT3 di SMK Seksyen 18, hari ini.

Nordin Ahmad berkata, prestasi baik pelajar sekolah itu didorong pentadbiran berkesan Pengetuanya, Ahmad Kamal Idris.

“Pentadbiran sekolah ini menyasarkan pembelajaran bersistematik yang menyaksikan penerapan kepentingan disiplin pelajar difokuskan sejak tahun awal mereka menjejakkan kaki ke sekolah menengah.

“Dengan cara ini, pelajar memberikan kerjasama baik dan berdisiplin yang membuatkan guru tidak berdepan masalah besar serta tertekan ketika mengajar, malah bersemangat membantu prestasi sekolah,” katanya.

Berita Harian X