Rabu, 2 Oktober 2019 | 2:48pm
PROF Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Prof Faisal Rafiq dilantik Naib Canselor USM

PUTRAJAYA: Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) baharu berkuat kuasa Jumaat ini hingga 3 Oktober 2022.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan Faisal Rafiq, 44, itu dibuat berdasarkan syor Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam pada 4 September lalu.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Tan Sri Zarinah Anwar dan dianggotai Tan Sri Wahid Omar, Tan Sri Dr Lin-See Yan, Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Razak dan Dr Andrew Aeria.

Kementerian Pendidikan berkata, pelantikan itu berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaiannya semasa memegang jawatan pentadbiran utama, iaitu Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Malaya (UM) selama enam tahun dan jawatan sebelum itu sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kementerian percaya beliau akan dapat memacu kecemerlangan USM ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Kementerian Pendidikan berkata, sebagai pengurusan tertinggi UM, Faisal Rafiq terbabit dalam meningkatkan kecemerlangan dan ketampakan UM pada peringkat global apabila UM menduduki tempat ke-70 dalam kedudukan 100 terbaik dunia, berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2020.

UM juga dinobatkan berada di kedudukan ke-10 dalam kalangan universiti global dalam bidang kejuruteraan seperti yang diumumkan US News dalam penerbitan US News 2018 Best Global Universities Ranking.

Semasa memegang portfolio Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UM, antara inovasi yang dilaksanakan beliau ialah pengurusan air dan sisa, penyelidikan serta pendidikan bagi pembangunan yang mampan sehingga memperoleh pengiktirafan Most Sustainable (Greenest) City Centre University in Asia oleh UI Green Metric pada 2017 dan 2018.

Faisal Rafiq juga berjaya mengkomersialkan produk penyelidikan melalui spin-off beliau, Flexilicate Sdn Bhd.

“Kementerian berharap agar pelantikan itu dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau untuk kecemerlangan USM dan seterusnya merealisasikan visi USM untuk menjadi universiti penyelidikan yang terkemuka peringkat global,” katanya.

Kementerian Pendidikan dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Asma Ismail atas khidmat bakti dan kepemimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sejak 4 Oktober 2016.

Asma kini menggalas tanggungjawab yang lebih besar sebagai Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Presiden Akademi Sains Malaysia. – BERNAMA

Berita Harian X