Isnin, 14 Oktober 2019 | 11:46pm
CANSELOR Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA), Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) Mohd Aswan Mohd Amin pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-11 hari ini di Kampus Gong Badak. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Dedikasi kejayaan untuk insan tersayang

KUALA NERUS: Kesukaran hidup ketika sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak menghalang untuk akhirnya lulus cemerlang dan berjaya menggenggam segulung ijazah.

Bagi graduan program Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antrapologi dan Dakwah), Mohd Aswan Mohd Amin, 24, diuji dengan perpisahan ibu bapa ketika berusia 13 tahun, selain kemiskinan tidak membuatnya berputus asa, sebaliknya menjadi kekuatan untuk mengubah nasib keluarga.

Katanya, walaupun perjalanan pelajarannya semasa menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengganggu emosinya, namun melihat kecekalan ibunya, Darwani Usin, 55, menjaga mereka sembilan beradik menjadi pembakar semangat kepadanya untuk berjaya dalam pelajaran.

Hasilnya ketika menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), beliau berjaya mendapat keputusan cemerlang dan juga turut berjaya menamatkan pengajian di UniSZA.

Malah, kejayaan lebih manis buat anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini apabila dianugerahkan Anugerah Pelajaran DiRaja yang disampaikan oleh Canselor UniSZA yang juga Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pada Majlis Idul Ilmi Konvokasyen ke-11 UniSZA di Dewan Al Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.

“Saya anak pertama berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti. Abang dan kakak yang lain tidak dapat menamatkan pengajian kerana kesusahan keluarga. Selepas tamat sekolah, mereka mengambil keputusan untuk bekerja.

“Apabila masuk ke UniSZA, saya mengambilnya sebagai dorongan untuk belajar bersungguh-sungguh dan bertekad mahu membalas jasa mereka yang banyak berkorban dan memberi semangat sepanjang pengajian di universiti,” katanya yang juga anak ketujuh dari sembilan beradik.

Selain didedikasikan kepada keluarga, kejayaan itu juga ditujukannya kepada kepada bekas gurunya, Siti Salwa Ahmad yang turut menangung perbelanjaan pengajiannya sewaktu peringkat awal di UniSZA.

“Awalnya, mama tidak bagi untuk saya melanjutkan pengajian di UniSZA kerana tentunya kosnya yang tinggi, namun ustazah Siti Salwa yang menanggung semua kos perbelanjaan awal untuk saya ke sini, termasuk tiket penerbangan.

“Malah, ketika di tingkatan enam, beliau sudi untuk menaja pengajian saya. Jadi, saya hadiahkannya dengan keputusan cemerlang dalam SPTM dan kemudiannya menghadiahkan saya pula dengan kos perbelanjaan awal ke UniSZA.

“Syukur, saya dikelilingi insan yang baik. Ia juga berkat doa daripada ibu dan bapa untuk melihat saya berjaya,” katanya yang kini berkhidmat sebagai pegawai dakwah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS).

Sementara itu, graduan Nur Husna Md Lazim, 28, berasal dari Kelapa Batas, Pulau Pinang bersyukur kerana berjaya menggengam ijazah Sarjana Muda Dietetik walaupun diuji dengan masalah kegagalan buah pinggang sejak 2009 dan terpaksa menjalani rawatann dialisis tiga kali seminggu.

Malah, beliau terus diuji apabila ketika di semester akhir pengajian dan sedang menjalani latihan industri, kesihatannya semakin merosot sehingga tidak boleh bangun dan berjalan kerana disahkan mengalami kepatahan tulang belakang.

“Walaupun sedih tapi saya bersyukur. Ini adalah tahun ke-10 saya mengalami masalah buah pinggang dan sejak masuk ke UniSZA pada 2015, saya kuat seperti mana pelajar lain cuma ketika di tahun akhir pengajian kesihatan saya semakin merosot dan disahkan doktor tidak boleh berjalan,” katanya.

Nur Husna berkata, walaupun berdepan dengan masalah kesihatan kritikal, namun terus bersemangat untuk meneruskan pengajian tingga tamat kerana terkenangkan pengorbanan bapanya, Md Lazim Shaari, 59, dan ibunya, Aisah Abdullah, 60.

Berita Harian X