Sabtu, 2 November 2019 | 5:47pm
PENERIMA Anugerah Diraja Farahana Mohamed (dua kiri), Nalina Santhiran (dua kanan) bersama penerima anugerah Naib Canselor, Muhammad Alif Fitri Abdul Halim (kiri) dan penerima anugerah Tun Razak, Joshua Peh Jian Ren (kanan) pada Konvokesyen ke 47 UKM. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Tidak pernah patah semangat untuk berjaya

BANGI: Biarpun dibesarkan oleh nenek sejak berusia lapan bulan, ia tidak mematahkan semangat Farahana Mohamed, 27, untuk berjaya dalam pelajaran sehingga menerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan dengan kepujian cemerlang itu menerima anugerah berkenaan sempena Majlis Konvokesyen ke-47, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Farahana berdepan ujian getir apabila ayahnya, Mohamed Awang, 62, diserang angin ahmar 10 tahun lalu ketika beliau baru menamatkan pelajaran peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Walaupun saya dibesarkan oleh nenek, ibu bapa saya tidak pernah melepaskan tanggungjawab mereka untuk memastikan saya mendapat pelajaran yang cukup.

"Semuanya berubah selepas ayah diserang angin ahmar dan punca pendapatan keluarga terputus ketika itu," katanya.

Farahana antara 7,655 graduan yang menerima skrol masing-masing bersempena Konvokesyen UKM ke-47 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam.

Anak kelahiran Kampung Sarah Sering, Kelantan itu berkata, beliau terpaksa menolak tawaran sebuah universiti di Sarawak berikutan kos pengangkutan yang tinggi dan tidak mahu menyusahkan hati kedua-dua ibu bapanya kerana jarak terlalu jauh.

Katanya, beliau bangkit semula meneruskan pengajian selepas diterima masuk ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) seterusnya ke UKM.

"Selepas tamat pengajian diploma, saya bekerja sebagai juruwang selama setahun untuk mengumpul duit sebelum menyambung pengajian ke UKM.

"Saya juga mendapatkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang saya gunakan sepenuhnya untuk pembayaran yuran pengajian," katanya yang menerima Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.68.

Berita Harian X