Selasa, 5 November 2019 | 3:54pm
MOHD Ariff Ithnin (tiga kanan) dan Mohamad Khalid (dua kiri) beramah mesra bersama-sama pelatih kursus di Iconix Academy, Puchong. - Foto: Aziah Azmee/ NSTP
MOHD Ariff Ithnin menyampaikan taklimat kepada peserta kursus pemasangan dan penyelenggaraan fiber optik. - Foto: Aziah Azmee/ NSTP

Yayasan Peneraju taja 150 belia ikuti kursus fiber optik

PUCHONG: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menaja seramai 150 golongan belia daripada keluarga kurang berkemampuan mengikuti kursus pemasangan dan penyelenggaraan fiber optik dikendalikan FELCRA Training & Consultancy (FTC).

Kursus berkenaan terbahagi kepada tiga kohort dengan kumpulan pertama membabitkan 38 peserta berusia 18 hingga 23 tahun itu sudah selesai mengikuti latihan amali dua bulan dan akan menjalani latihan dalam pekerjaan selama tujuh bulan.

Kursus itu adalah penajaan latihan kemahiran di bawah program Peneraju Skil Iltizam bertujuan memberi peluang kepada golongan belia Bumiputera yang meminati bidang teknikal dan vokasional untuk meningkatkan kemahiran serta taraf hidup.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Mohd Ariff Ithnin, berkata latihan itu disediakan memandangkan bidang telekomunikasi mempunyai potensi pekerjaan menawarkan pendapatan memuaskan dan mampu membantu pesertanya mengubah kehidupan keluarga masing-masing untuk jangka panjang.

Katanya, pihaknya bertemu dengan pihak industri yang memberikan maklum balas mengenai kepentingan penyediaan tenaga kerja dalam bidang itu terutama Malaysia kini dalam proses untuk beralih ke arah teknologi generasi kelima (5G).

“Latihan diberikan dengan kerjasama rakan strategik kita iaitu FTC yang akan memantau perkembangan peserta supaya hasrat untuk melihat mereka mempunyai pekerjaan dengan pendapatan memuaskan.

“Kita bukan hanya menyediakan bantuan kewangan tetapi mahu melahirkan seorang individu mempunyai ‘hati’, kita mahu mereka menjadi seorang yang berwawasan dan kepemimpinan... bukan hanya pekerja biasa sahaja supaya boleh pergi lebih jauh,” katanya ditemui selepas sesi Jom Kerja bersama pelatih kursus itu di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Besar FTC, Mohamad Khalid Mohamad Noor, berkata setiap pelatih akan menerima sijil profesional daripada Telekom Malaysia Berhad dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) selepas melepasi ujian standard ditetapkan.

“Ini akan membolehkan mereka bekerja di bidang telekomunikasi kerana sudah mempunyai pengiktirafan, malah 70 peratus daripada pelatih kumpulan pertama itu sudah menerima tawaran pekerjaan.

“Mereka ditawarkan gaji RM1,200 sebulan dan diharapkan jumlah berkenaan dapat ditingkatkan kepada RM1,500 dalam tempoh 12 bulan, kita akan terus memantau kemajuan kesemua pelatih supaya sasaran ditetapkan Yayasan Peneraju berjaya dicapai,” katanya.

Berita Harian X