Isnin, 18 November 2019 | 5:11pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan sumbangan makanan Food Bank Siswa UMK kepada pelajar, Nurul Nabilah Shamsudin, 20, pada Majlis Perasmian Food Bank Siswa UMK di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok. NSTP/Syamsi Suhaimi
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan sumbangan makanan Food Bank Siswa UMK kepada pelajar, Nurul Nabilah Shamsudin, 20, pada Majlis Perasmian Food Bank Siswa UMK di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok. NSTP/Syamsi Suhaimi

Ada insentif kepada penyumbang Food Bank

BACHOK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan menyediakan insentif kepada rakan strategik yang menyumbang kepada Program Food Bank yang dijalankan sejak tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya akan berunding dengan pihak berkepentingan bagi menentukan bentuk insentif yang munasabah diberikan kepada 430 penyumbang.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi menarik lebih ramai penyumbang Program Food Bank.

“Barangkali insentif itu akan diberikan dalam aspek kawal selia kementerian. Misalnya apabila mereka (rakan strategik) berurusan dengan kementerian, kita akan gunakan sistem lebih pantas.

“Sistem ini akan membantu mereka dan pada masa yang sama kita akan fikirkan insentif lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Food Bank Siswa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, walaupun tiada insentif ditawarkan sebelum ini, kementerian berjaya mendapatkan kerjasama 430 rakan strategik yang menjadi penyumbang pada program terbabit.

Justeru, katanya, kementerian mengalu-alukan pihak lain untuk menjadi rakan strategik dan jumlah penyumbang akan terus bertambah.

“Bagi Program Food Bank Siswa, seramai 6,700 siswa daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) membabitkan 22 universiti awam (UA) menerima manfaat menerusi program berkenaan yang dijalankan sepanjang tahun ini.

“Kita akan menyasarkan 123 lagi institusi yang terdiri daripada politeknik, institut pendidikan guru (IPG) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) mulai tahun depan,” katanya.

Berita Harian X