Khamis, 5 March 2020 | 8:54pm
Banduan TLS di Penjara Marang yang dikenali sebagai Hassan (bukan nama sebenar) menunjukkan keputusan 6A yang diperoleh dalam peperiksaan SPM ketika ditemui di Sekolah Integriti Penjara Marang hari ini. - Foto BERNAMA
Banduan TLS di Penjara Marang yang dikenali sebagai Hassan (bukan nama sebenar) menunjukkan keputusan 6A yang diperoleh dalam peperiksaan SPM ketika ditemui di Sekolah Integriti Penjara Marang hari ini. - Foto BERNAMA

Banduan cemerlang 6A SPM gigih demi pengampunan

MARANG: “Enam A yang amat berharga untuk pengampunan walaupun masa depan masih tidak mampu diduga,” luah banduan Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Penjara Marang selepas mengetahui dirinya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.

Hassan, 21 (bukan nama sebenar) yang ditemu ramah BERNAMA berkata dirinya mungkin akan kekal di situ, jika dirinya sendiri tidak berusaha melakukan perkara yang terbaik untuk mendapatkan pengampunan.

Kisah Hassan yang memohon supaya orang ramai mendoakannya selepas menduduki peperiksaan SPM tahun lalu pernah tular di media sosial dan menurutnya doa itu juga memungkinkan dia berjaya malah tidak mustahil untuknya ‘bebas’ dari penjara selepas disabit pada 2016 atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

“Malam tadi saya tak dapat lelap mata. Macam-macam bermain di fikiran. Saya sangat berharap keputusan cemerlang untuk buka mata banyak pihak.

“Orang lain mungkin akan sibuk mengisi kemasukan ke universiti. Saya juga ada keinginan, walaupun belajar secara online tetapi ia perlukan perbelanjaan sendiri, bimbang juga keluarga tidak mampu,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik.

Menurut Hassan, sebelum ini ibunya pernah hadir ke penjara dan terkejut hingga mengalirkan air mata apabila melihat keputusan peperiksaan percubaan (4A 2B 1C) dan kali ini beliau pasti ibunya akan berbangga dengan rekod yang lebih baik.

“Semasa di luar (bebas), saya tak dapat gembirakan mak. Hanya sekarang baru berpeluang. Saya memang nak keluar, jadi orang awam. Semua nak buat untuk mak,” katanya yang mengakui kesalahan yang dilakukan sebelum ini akibat pengaruh kawan dan kemiskinan.

Sekolah Integriti Penjara Marang merekodkan keputusan cemerlang tahun ini apabila kesemua 16 pelajar yang mengambil SPM mencapai rekod lulus iaitu seorang pelajar memperoleh enam A (Hassan), manakala empat lagi pelajar masing-masing memperoleh lima A, empat A, tiga A, dua A dan 11 pelajar mendapat satu A.

Paling membanggakan apabila semua pelajar memperoleh A bagi subjek Sains.

Sementara itu seorang lagi banduan, Alif, 22, (bukan nama sebenar) turut mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya memperoleh keputusan yang baik meskipun kali terakhir belajar, ketika Darjah Enam.

Beliau yang menjalani hukuman penjara sejak 2018 hanya berpeluang belajar selama enam bulan sahaja selepas dia membuat keputusan untuk menduduki SPM tahun 2019.

Katanya, peperiksaan itu untuk membuktikan kepada ibunya bahawa dia boleh berubah dan mahu dirinya diterima semula dalam keluarga setelah dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan akibat melakukan rompakan.

Beliau mengakui kejayaan yang diperoleh itu hasil dorongan rakan di penjara dan teknik guru mengajar yang lebih berbentuk kuiz dan latihan secara berkumpulan.

“Saya sendiri tidak sangka daripada tak pernah ke sekolah menengah akhirnya ambil SPM. Dapat pulak A dalam Sains... sungguh tak sangka. Tekad saya nak sambung belajar. Saya akan bebas nanti,” katanya.

Menurut Alif, selepas Darjah Enam beliau dijaga oleh datuknya ekoran kedua ibu bapanya berpisah dan tekad bekerja sebagai nelayan demi kelangsungan hidup.

Namun episod hitam menimpa dirinya apabila adiknya (dijaga ibunya) menerima pelbagai ugutan kerana berhutang sebanyak RM200 hingga memaksanya yang terdesak merompak sebuah kedai serbaneka.

Kesalahan itu adalah kali pertama dilakukannya, namun anak sulung daripada tiga beradik itu bersyukur kerana ia memberi peluang untuknya mendapat pendidikan yang lebih baik.

Sementara itu, penyelia sekolah, Nor Amalia Kasim berkata keputusan kali ini sangat membanggakan dan ia dicapai hasil kerjasama semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan yang turut menyalurkan dana bagi membeli buku sekolah dan buku rujukan.

“Ia juga sokongan daripada pihak penjara, pegawai yang menjaga kebajikan pelajar dan guru yang mengajar tanpa berbelah bahagi. Belajar di penjara pastinya tidak seindah di luar sana.

“Harapan saya pelajar ini akan melangkah lebih jauh. Semoga masyarakat juga akan menerima bekas banduan. Bukan semua daripada mereka akan melakukan kesalahan yang sama,” katanya. – BERNAMA

Berita berkaitan

Galeri Sekitar Keputusan SPM

Berita Harian X