Ahad, 8 March 2020 | 8:15pm
NAIB Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Penutup Ekspo Selangkah ke UiTM (ESKU) di UiTM Shah Alam, petang ini. - Foto Asyraf Hamzah
NAIB Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim melawat ruang pameran pada Majlis Perasmian Penutup Ekspo Selangkah ke UiTM (ESKU) di UiTM Shah Alam, petang ini. - Foto Asyraf Hamzah

UiTM sasar 53,000 pengambilan pelajar tahun ini

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menawarkan 235 program bagi permohonan sesi satu 2020/2021 membabitkan Pra Diploma, Asasi/Diploma, Sarjana Muda, Profesional, Penerapan dan Setara Sepenuh Masa (SS)/Pengajian Luar Kampus (PLK).

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim, berkata daripada jumlah itu program yang ditawarkan adalah 74 program diploma, 155 program muda dan enam program profesional.

“UiTM mensasarkan pengambilan tahun ini sebanyak 53,000 pengambilan iaitu 24,000 (Diploma), 21,000 (Ijazah), Asasi (5,000) dan 3,000 bagi Pra Diploma,” katanya kepada BH pada Majlis Perasmian Penutup Ekspo Selangkah ke UiTM (ESKU) di UiTM Shah Alam di sini, petang ini.

Mohd Azraai berkata, sepanjang dua hari berlangsung EKSU itu, lebih 50,000 pengunjung termasuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Pengunjung yang datang dari pelbagai peringkat lepasan terutamanya SPM, STAM, STPM, begitu juga lepas diploma, asasi tetapi lepas SPM paling ramai.

“Sambutan EKSU tahun ini amat menggalakkan dan lebih ramai berbanding tahu lalu, tambahan pula nama UiTM semakin meningkat, ranking kita semakin naik.

“Antara fakulti yang menjadi tumpuan pelajar lepasan ini adalah perakaunan, perhotelan serta asasi,” katanya.

Beliau berkata, taklimat fakulti juga diadakan agar bakal mahasiswa mengetahui lebih lanjut maklumat berkaitan fakulti dan program-program yang ditawarkan di UITM.

“Bakal mahasiswa juga boleh mendapatkan maklumat terkini tentang kemasukan ke UITM, khidmat nasihat daripada Bahagian Pengambilan Pelajar dan Pusat Kerjaya & Kaunseling,” katanya.

Selain program di peringkat diploma dan sarjana muda katanya, UiTM turut menawarkan program peringkat sarjana dan doktor falsafah.

“Kita menyediakan reruai Institut Pengajian Siswazah untuk memberi maklumat kepada pelajar pascasiswazah.

“Bagi golongan bekerja atau profesional yang ingin menyambung pelajaran secara separuh masa, reruai khas disediakan oleh Institut Pendidikan Berterusan & Pengajian Profesional,” katanya.

Katanya, pada ekspo itu sebanyak 34 reruai terdiri daripada fakulti, pusat akademik dan pusat tanggungjawab disediakan pada ekspo itu.

“Kita juga menyediakan tiga bas bergerak dari Fakulti Pergigian, Fakulti Sains (optometri) dan Klinik Bergerak oleh Pusat Kesihatan serta 10 gerai makanan bergerak yang menyediakan makanan untuk pengunjung,” katanya.

Berita Harian X