Sabtu, 14 March 2020 | 8:33am
EXCO Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahari Mamat (belakang tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Rektor TATIUC, Profesor Dr Anuar Ahmad (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Elvira Systems Sdn Bhd, Mohd Farid Zainal Abidin (dua kanan). - Foto ihsan TATIUC

Terengganu sedia biasiswa RM4.4 juta untuk pelajar TATIUC

KUALA TERENGGANU: Biasiswa bernilai RM4.4 juta ditawarkan kepada bakal penuntut yang melanjutkan pengajian Kolej Universiti TATI (TATIUC) milik milik kerajaan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat, berkata biasiswa itu membuka peluang kepada pelajar yang layak bagi mengikuti program peringkat asasi, diploma dan ijazah sarjana muda dalam bidang Teknologi Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.

“Tawaran ini dibuka kepada pelajar baharu bagi kemasukan April, Julai dan September 2020 di TATIUC dengan biasiswa pengajian ini merangkumi rebat yuran pendaftaran, yuran asrama sepanjang tempoh pengajian dan elaun sara hidup.

“Elaun sara hidup ini diberikan pada setiap bulan dengan pelajar asasi menerima RM300, pelajar diploma (RM200) dan pelajar ijazah sarjana muda (RM250),” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Pelancaran Biasiswa TATIUC di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Rektor TATIUC, Profesor Dr Anuar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Elvira Systems Sdn Bhd, Mohd Farid Zainal Abidin.

EXCO Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahari Mamat (kiri) menyerahkan replika cek tajaan biasiswa kepada Rektor TATIUC, Profesor Dr Anuar Ahmad pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Pelancaran Biasiswa TATIUC. - Foto ihsan TATIUC

Pada majlis itu, TATIUC turut menandatangani MoU bersama Elvira Systems Sdn Bhd sambil disaksikan Satiful Bahari.

Kerjasama yang terjalin antara TATIUC dan Elvira Systems Sdn Bhd sejak 2018 itu memberi fokus terhadap penggunaan papan pengawal microbit dalam usaha memupuk minat coding dalam kalangan pelajar sekolah, guru dan penuntut IPT.

Sementara itu, Anuar berkata, TATIUC menyediakan 1,300 tempat bagi kemasukan pelajar baharu bagi sesi pengajian 2020.

“TATIUC menawarkan tiga program sarjana, 10 program ijazah sarjana muda, 13 program diploma dan 2 program asasi dalam pelbagai bidang antaranya pembuatan, automasi, elektrikal, ujian tanpa musnah, kimia, polimer, komputer, pengurusan teknologi dan media grafik,” katanya.

Berita Harian X