Selasa, 14 April 2020 | 12:09pm
Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong - Foto ihsan PPDKT
Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong - Foto ihsan PPDKT

PPD Kuala Terengganu perkasa pembelajaran di rumah

KUALA TERENGGANU: Bagi memperkasakan lagi inisiatif pembelajaran di rumah atau ‘home based learning’ dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu (PPDKT) mengambil langkah mewujudkan pelantar pembelajaran digital sekolah rendah dan menengah dalam talian.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong, berkata matlamat utama pelantar itu adalah untuk memudahkan lagi proses pembelajaran di rumah secara interaktif daripada pelbagai sumber.

Katanya, ia juga menyokong bahan pembelajaran Kementerian Pendidikan dengan mengintegrasikan pelbagai teknologi dalam inovasi pembelajaran berdasarkan keperluan semasa.

“Tempoh PKP ini telah mengubah cara pengurusan sekolah dan pembelajaran murid secara dalam talian bagi memastikan anak-anak selamat selain sentiasa belajar walaupun berada di rumah dengan pemantauan guru dan tunjuk ajar ibu bapa.

“Inisiatif ini sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain menyahut cabaran Menteri Pendidikan, Ketua Pengarah Pendidikan (KPPM) dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani yang mahukan pembelajaran terus dilaksanakan seperti biasa walaupun melalui kaedah dalam talian.

“Bersesuaian dengan ‘tagline’ PPDKT sebagai ‘Peneraju Kecemerlangan Pendidikan’, kami juga melaksanakan gerakan pembelajaran di setiap sekolah melalui pengetua dan guru besar yang menjadi rujukan kepada guru sebelum mereka bersemuka dengan murid untuk mempraktikkan pembelajaran dalam talian secara intensif.

“Bagi memastikan pembelajaran itu dapat dilaksanakan dengan berkesan, peranan tenaga kerja sedia ada serta pemikiran hebat Sektor Pembelajaran, Pembimbing Pakar Pedagogi (SISC+), Pembimbing Pengurusan Sekolah (SIP+), Unit Sumber Teknologi Pendidikan (USTP) dan guru cemerlang adalah sangat membantu dalam memantapkan lagi kaedah ini yang harus dijadikan rutin dalam tempoh PKP.

“Selain itu gaya kerja PPDKT dan pengurusan 76 buah sekolah juga turut berbeza, mereka melaksanakan fungsi mesyuarat, melaksanakan dialog prestasi, pemantauan dan kepemimpinan menggunakan kaedah dalam talian dan mereka akan diberikan sijil penghargaan.

“Saya berkeyakinan bagi membendung penularan pandemik COVID-19 dalam tempoh PKP ini, pelaksanaan pembelajaran dalam talian yang diketuai Penolong PPDKT Sektor Perancangan, Ahmad Suhaimi Said dan penyelarasnya Timbalan PPD Sektor Pembelajaran, Ariffin Ali dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X