Selasa, 21 April 2020 | 5:58pm
Nursalwana Tamin memantau anaknya yang mengikuti pembelajaran secara atas talian bagi memastikan anaknya tidak tercicir dalam pelajaran sepanjang tempoh PKP.
Nursalwana Tamin memantau anaknya yang mengikuti pembelajaran secara atas talian bagi memastikan anaknya tidak tercicir dalam pelajaran sepanjang tempoh PKP.
Firzanah Insyirah Asna Rulfaizi
Firzanah Insyirah Asna Rulfaizi
Mohamad Aidil Zikry Mohd Zairis mengulang kaji pelajaran di rumah.
Mohamad Aidil Zikry Mohd Zairis mengulang kaji pelajaran di rumah.
Mohamad Aidil Zikry Mohd Zairis (kanan) mengulang kaji pelajaran di rumah sambil diperhatikan oleh bapanya.
Mohamad Aidil Zikry Mohd Zairis (kanan) mengulang kaji pelajaran di rumah sambil diperhatikan oleh bapanya.

Murid teruskan pembelajaran dalam talian

KUALA LUMPUR: Pembatalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini tidak menghalang murid Tahun Enam untuk terus fokus belajar menerusi pembelajaran secara digital.

Perkara itu diakui beberapa calon UPSR 2020 yang sepatutnya menduduki peperiksaan itu pada awal September nanti.

Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah, Mohamad Aidil Zikry Mohd Zairis, berkata walaupun tidak akan dapat melihat pencapaiannya dalam UPSR nanti, sebagai murid dia tidak perlu menoleh ke belakang, sebaliknya terus fokus terhadap pembelajaran.

Katanya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebulan lalu, dia meneruskan pembelajaran secara dalam talian mengikut arahan guru.

“Awalnya, kami memang tidak tahu apa hala tuju UPSR tahun ini, namun selepas diumumkan batal, guru tetap memberi tugasan dan kami belajar seperti biasa.

“Diharap semua murid Tahun Enam tidak tercicir dalam pembelajaran masing-masing dan pentaksiran lain dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) dapat membantu murid menentukan haluan akademik seterusnya,” katanya kepada BH, di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, mengumumkan peperiksaan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini dibatalkan susulan penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

Bagi murid SK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Firzanah Insyirah Asna Rulfaizi, selain meneruskan sesi pembelajaran mengikut jadual dan tugasan yang diberikan guru, dia turut mengambil pendekatan mengikuti kelas tambahan dalam talian.

Firzanah Insyirah berkata, dia juga tidak melepaskan peluang belajar dengan pelbagai aplikasi yang ada seperti saluran TV Pendidikan dan Google Classroom.

“Saya juga menggunakan saluran laman sosial untuk bertukar-tukar pandangan dan bertanya soalan dengan guru serta rakan bagi memastikan proses pembelajaran di rumah pada musim PKP ini berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, ibu murid dari Sungai Buloh, Nursalwana Tamin, 40, berkata pembatalan UPSR tidak menjadi halangan kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak terus belajar di rumah.

Katanya, sejak bermula PKP beliau sudah melatih anaknya untuk mengikuti kelas pembelajaran maya bagi memastikan anaknya itu tidak tercicir dalam pelajaran.

“Selain mengikuti kelas tuisyen secara dalam talian, anak saya juga turut menyiapkan tugasan harian yang diberikan oleh guru menerusi kumpulan WhatsApp kelas masing-masing.

“Saya turut menyediakan jadual harian untuk anak supaya dia dapat mengulang kaji secara berterusan selain bijak mengatur masa mengikut jadual yang diberi,” katanya.

Berita Harian X