Khamis, 14 Mei 2020 | 3:55pm
Portal FullAMark membolehkan murid belajar di mana saja.
Portal FullAMark membolehkan murid belajar di mana saja.

FullAMark tawar pembelajaran dalam talian di rumah

KUALA LUMPUR: Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan sekolah masih ditutup untuk suatu tempoh yang belum ditetapkan akibat pandemik COVID-19 membuatkan pelajar seperti Nur Irdina Azree, 17, berada dalam keadaan serba salah.

Biarpun tarikh sebenar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditunda ke suku pertama tahun hadapan, dia masih bimbang dengan persiapannya untuk menduduki dan menjawab semua soalan dalam peperiksaan itu.

Bagaimanapun, kebimbangannya berakhir apabila menemui portal pembelajaran digital, FullAMark, yang isi kandungannya disediakan oleh penulis sisipan pendidikan terbitan akhbar BH, iaitu Didik, Minda dan Skor.

Portal itu menawarkan subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik untuk murid Tahun Lima, Tahun Enam serta pelajar Tingkatan Tiga manakala bagi calon SPM pula ditawarkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Bermula 1 Mei lalu hingga 30 Jun ini, FullAMark boleh dilanggan pada harga promosi dan berpatutan, iaitu RM50 bagi tempoh enam bulan langganan dengan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui www.fullamark.com.my.

Nur Irdina yang bersekolah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Serting, Negeri Sembilan, berkata soalan latihan dalam portal itu mudah diakses, selain nota bagi setiap topik yang dipelajari adalah terkini, mengikut sukatan pelajaran dan mempunyai banyak soalan latihan berdasarkan format peperiksaan.

"Keistimewaan FullAMark ialah platform ini memaparkan panduan dan maklumat mengenai kertas peperiksaan atau soalan seperti berapa banyak masa perlu diluangkan untuk menjawab soalan, apakah format soalan serta berapa banyak soalan objektif daripada Tingkatan Empat atau jumlah soalan daripada Tingkatan Lima.

"Semua maklumat ini membantu pelajar lebih bersedia untuk menduduki peperiksaan dan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada topik yang perlu diperbaiki," katanya.

Seorang pelajar Tingkatan Lima yang mahu dikenali sebagai Chua yang melanggan FullAMark ketika PKP berkata, portal itu menarik kerana mengetengahkan ciri interaktif seperti komunikasi dua hala antara pelajar dengan guru serta boleh menghubungi guru secara dalam talian (e-Cikgu) untuk mendapatkan penyelesaian.

Beliau berkata, portal itu membolehkan pelajar mengemukakan jawapan dan karangan berbentuk subjektif untuk ditanda e-Cikgu.

"Karangan saya akan ditanda e-Cikgu dengan kesilapan ditunjukkan secara jelas dan dibantu untuk menulis semula ayat yang betul. Ini memberi manfaat kepada pelajar untuk menulis karangan yang baik pada masa depan," katanya.

Selain itu, pelajar juga dapat berinteraksi dengan rakan sebaya yang melayari portal itu pada masa yang sama, selain boleh bertukar idea dan pengetahuan.

Walaupun Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan, pelajar mempunyai penilaian kognitif lain pada peringkat sekolah, daerah atau negeri, malah pemilihan untuk ke sekolah berasrama penuh (SBP) memerlukan pencapaian akademik dan kokurikulum yang baik.

Oleh itu, pelajar disarankan untuk terus belajar di rumah melalui FullAMark, malah portal itu membolehkan ibu bapa memantau kemajuan anak-anak sambil mengikuti pembelajaran mereka.

Seorang bapa, Mohamad Zaini Md Noor dari Cheras yang mendaftarkan anaknya di portal itu berkata, platform e-pembelajaran adalah hikmah selepas PKP dilaksanakan.

"Anak saya, Aqeel Hazimi, 12, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tun Hussein Onn (2) tidak dapat bersekolah dan menghadiri kelas tambahan di sekolah, justeru penggunaan FullAMark membolehkan dia mengisi masa lapang dan mengulang kaji semua mata pelajaran di rumah," katanya.

Sementara itu, bagi guru yang mencari sumber dalam talian dan platform melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) ketika PKP, FullAMark membolehkan mereka memantau pelajar secara meluas dengan ciri Kelas FullAMark.

Dengan ciri itu, guru dapat menumpukan perhatian untuk menjadikan pelajaran secara dinamik bagi memastikan pelajar mereka memperoleh suasana pembelajaran lebih baik.

Mereka juga dapat menyediakan kandungan tambahan dengan memberikan kuiz dan memantau kemajuan pelajar dalam talian.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Lipis, Wan Firdaus Yahya yang mengajar Sains PT3 dan SPM berkata, FullAMark memudahkan guru dan pelajar dalam mencari maklumat serta dijadikan bahan pembelajaran alternatif sepanjang PKP.

"Portal ini menarik dan membolehkan saya meneroka maklumat untuk dimanfaatkan bagi kegunaan kelas dalam talian saya berikutan pembelajaran secara fizikal tidak dapat dilaksanakan ketika PKP," katanya.

Berita Harian X