Sabtu, 5 March 2016 | 12:34pm

Muhyiddin ahli UMNO matang - Rozali

KOTA BHARU: Keputusan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tidak mengikut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar UMNO, disifatkan seorang yang berfikiran matang dalam berpolitik dan ahli UMNO sejati.

Naib Pengerusi Kanan Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mohd Rozali Isohak, berkata keputusan Muhyiddin kekal dalam UMNO juga membuktikan beliau seorang ahli UMNO yang tidak mahu melihat parti hancur disebabkan agenda peribadi.

Katanya, keputusan itu juga membuktikan beliau seorang yang setia dan sayangkan parti, walaupun digantung jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO.

"Apapun kita harapkan Muhyiddin tidak bertindak memburukkan parti dan pemimpin bagi pihak orang yang kecewa seperti Dr Mahathir yang berterusan menyerang UMNO dan Najib.

"Muhyiddin perlu istiqamah dan terus memastikan UMNO sebagai wadah perjuangan dan kuasa politik orang Melayu tidak tergugat. Jangan terikut-ikut dengan apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir (Mohamad) terus menyerang UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjatuhkan kepimpinannya dan kerajaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar melaporkan Muhyiddin yang digantung jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO, tidak menyertai Dr Mahathir keluar daripada UMNO.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mahu merujuk penggantungan jawatannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), tetapi tetap mahu bersama UMNO kerana ingin membetulkan parti dari dalam.

Mengenai tindakan Dr Mahathir keluar daripada UMNO buat kali kedua, Mohd Rozali yang juga Pengerusi Veteran UMNO Kelantan, berkata cara bekas Presiden UMNO itu dilihat lebih kepada cubaan untuk menggugut UMNO dan menjatuhkan Najib.

Katanya, UMNO tidak perlu rasa rugi dengan keluarnya bekas pemimpin seperti Dr Mahathir yang tidak dapat melihat kebaikan yang dilakukan barisan kepemimpinan UMNO sekarang yang diterajui Najib.

"Dr Mahathir keluar UMNO tidak bermakna UMNO akan hancur dan kerugian kepada parti. Apa yang penting kita (ahli UMNO) mempertahankan pemimpin (Najib) yang dipilih rakyat dan sebagai presiden parti, bukan berusaha untuk menjatuhkannya.

"Pemimpin silih berganti, datang dan pergi tetapi menjatuhkan pemimpin bukan caranya jika ia agenda peribadi," katanya

Sehubungan itu, beliau berkata Veteran UMNO Kelantan mengulangi pendirian tetap berdiri teguh dan menyokong kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Katanya, jawatankuasa Veteran UMNO negeri juga akan memberi penjelasan dan penerangan kepada seluruh ahlinya dan rakyat di akar mengenai isu semasa parti termasuk tindakan Dr Mahathir keluar UMNO.

"Kita tidak mahu rakyat terpengaruh dengan dakyah palsu terhadap UMNO dan Perdana Menteri dan mengaitkan tindakan Dr Mahathir keluar UMNO apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan memutarbelitkan isu itu," katanya.

Berita Harian X