Sabtu, 13 Ogos 2016 | 6:14pm

Jawatan Presiden UMNO bukan milik peribadi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis perasmian jamuan rakyat 'Sehati Sejiwa' dan persidangan perwakilan UMNO bahagian Jelebu di Stadium Mini Kuala Klawang, Kuala Klawang, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis perasmian jamuan rakyat 'Sehati Sejiwa' dan persidangan perwakilan UMNO bahagian Jelebu di Stadium Mini Kuala Klawang, Kuala Klawang, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

KUALA KLAWANG: Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa jawatan Presiden UMNO yang disandangnya bukan hak milik yang boleh diwariskan.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan akan melakukan yang terbaik kerana mendapat mandat daripada ahli UMNO untuk memimpin parti menuju kejayaan.

"Rumah ini (UMNO dan Malaysia) mesti dipertahankan kerana tiada apa lagi yang boleh diwariskan (kepada generasi masa depan).

"Jawatan Presiden (UMNO)? Bukan hak kita (saya)...tapi selagi saya diberi mandat oleh parti dan rakyat, saya akan lakukan yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian jamuan rakyat 'Sehati Sejiwa' dan persidangan perwakilan UMNO bahagian Jelebu di Stadium Mini Kuala Klawang di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Perdana Menteri berkata, beliau juga akan terus berpegang kepada amalan membuat keputusan secara bersama dengan kepemimpinan tertinggi parti sebagai bukti permuafakatan UMNO.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kelulusan peruntukan bagi membina sebuah dewan baharu yang boleh memuatkan 1,200 orang di bandar ini, tahun hadapan.

Berita Harian X