Khamis, 14 Ogos 2014 | 10:19am

Perbezaan politik gugat semangat perpaduan rakyat

Ogos menjengah lagi. Saban tahun, bulan Ogos menjadi tumpuan kerana semangat merdeka di dalamnya. Namun, bukan bermakna hanya Ogos sahaja yang perlu disambut semangat merdeka itu. Semangat merdeka, yang dalamnya turut terkandung kedaulatan negara, adalah semangat yang sepatutnya hijau dan melata pada sepanjang masa dan ketika; tidak kira bulan atau ketika.

Pada bulan ini Tanah Melayu, yang terdiri daripada sembilan buah negeri Melayu dan dua tanah jajahan British, berjaya mencapai kemerdekaan dengan semangat perpaduan dan setia kawan. Teringat kata-kata British bahawa Malaya tidak akan merdeka jika orang Malaya tidak bersatu dan tidak ada semangat setia kawan antara satu sama lain.

Saya tidak begitu gemar perkataan 'Malaya', saya lebih suka Tanah Melayu kerana Malaya itu adalah nama yang diberikan British kepada kita sedangkan nama sebenar tanah air kita ini ialah Tanah Melayu.

Berbalik kepada semangat perpaduan dan setia kawan, jelas kepada kita ia adalah faktor yang membolehkan kita merdeka. Semangat perpaduan dalam kalangan bangsa Melayu sendiri dan semangat setia kawan kaum lain menjadikan kemerdekaan itu benar-benar bermaksud bebas dan berdaulat daripada pentadbiran serta kawalan kuasa lain.

Perasaan curiga makin terserlah

Persoalan besar sekarang. Adakah perpaduan dan setia kawan itu masih ada? Ketika ini kita banyak mendengar semangat untuk kelangsungan kemerdekaan dan kesejahteraan negara. Kita mendengar banyak pihak, termasuk kumpulan dan individu menyuarakan hasrat menjaga kemerdekaan dan kedaulatan negara. Tetapi soalan besar saya di atas itu masih lagi belum mendapat jawapan yang positif. Dengan tindakan dan aktiviti pihak tertentu, perasaan curiga tidak boleh dinafikan semakin hari semakin boleh dilihat.

Hakikatnya, dalam kalangan khalayak, ada kekeliruan. Keliru kerana pelbagai perkara yang nampaknya seolah-olah mencabar kesejahteraan dan semangat kemerdekaan kita. Mencabar semangat perpaduan dan setia kawan. Pernyataan dan peristiwa banyak yang menggugat. Pernyataan perkauman ternyata begitu ghairah di laman maya dan laman sosial.

Kebebasan dalam laman sosial pula jarang digunakan untuk menghayati perpaduan dan setia kawan. Kebebasan itu bukan lagi semakin beradab. Ia bukan ada susila. Ini bukan lagi rahsia. Malah, jika dikumpulkan semuanya, ia sudah berlambak, ia juga sudah parah.

Sementara itu perasaan tidak puas hati atau perasaan sakit hati sudah begitu jelas dan begitu terserlah. Ini membimbangkan kerana ia bukan menunjukkan kematangan dalam semangat kemerdekaan, perpaduan atau setia kawan. Tetapi ia lebih menggambarkan perasaan tidak tenang dan sudah melahirkan bibit-bibit keresahan dalam kalangan kita.

Cabar perpaduan

Selain daripada hal kebebasan ini, hal-hal dan pernyataan berkaitan politik, termasuk fahaman dan parti politik juga sudah tentu antara perkara utama yang mencabar semangat perpaduan dan setia kawan. Ada yang sudah berani secara terang-terang meletakkan, sebagai contoh, undang-undang Islam dan sosialis dalam satu baris atau meletakkan undang-undang sosialis sebagai satu pilihan kita di Malaysia selain daripada undang-undang Islam.

Jika kita lihat sejarah, parti politik boleh dijadikan faktor untuk kita kembali kepada semangat kemerdekaan. Jika dahulu perpaduan parti politiklah yang menjadi penggerak kepada kemerdekaan, maka kini, kita sepatutnya sudah lebih matang dalam mengenali pakaian politik.

Dalam satu dokumen kemerdekaan, ada disebut oleh seorang ahli Suruhanjaya Reid bahawa tidak mungkin penduduk Tanah Melayu akan terus berpolitik mengenai semua perkara. Maksudnya ahli Suruhanjaya Reid itu mengandaikan kita orang Tanah Melayu akan kurang berpolitik. Tetapi sejak akhir-akhir ini soal politik menjadi faktor perpecahan. Andaian ahli Suruhanjaya Reid itu tidak tepat.

Dalam banyak perkara perlu kita nilaikan kembali semangat kemerdekaan; kita semak perpaduan kita; kita periksa setia kawan kita. Kita cari punca masalah dan kita selesaikan. Kita perlu bersungguh dan mesti tegas.

Sesungguhnya bangsa yang cerdik ialah bangsa yang tidak pernah lupa akan sejarahnya. Bangsa yang cerdik itu mengkaji, mencari punca kepada segala macam perkara yang boleh menjatuhkan bangsanya. Bangsa yang cerdik itu menyelesaikan punca permasalahan, bukan menjadi pencetus kepada masalah. Bangsa yang cerdik juga tidak berdiam diri.

Penulis ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X