Khamis, 24 Ogos 2017 | 4:12pm
PESURUHJAYA Parti Islam Semalaysia (PAS) Negeri Selangor, Sallehen Mukhyi (duduk tengah) pada sidang media tentang hala tuju PAS Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 14 di Carlton Holiday Hotel & Suites, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
PESURUHJAYA Parti Islam Semalaysia (PAS) Negeri Selangor, Sallehen Mukhyi (duduk tengah) pada sidang media tentang hala tuju PAS Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 14 di Carlton Holiday Hotel & Suites, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
PESURUHJAYA Parti Islam Semalaysia (PAS) Negeri Selangor, Sallehen Mukhyi (tengah) pada sidang media tentang hala tuju PAS Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 14 di Carlton Holiday Hotel & Suites, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
PESURUHJAYA Parti Islam Semalaysia (PAS) Negeri Selangor, Sallehen Mukhyi (tengah) pada sidang media tentang hala tuju PAS Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 14 di Carlton Holiday Hotel & Suites, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

PAS Selangor intai 42 kerusi, termasuk kawasan MB

SHAH ALAM: PAS Selangor mengintai sekurang-kurangnya 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu termasuk di kawasan diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali dan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, berkata PAS Selangor juga bersedia untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Dr Wan Azizah kini Ahli DUN Kajang manakala Azmin di DUN Bukit Antarabangsa.

Malah, tanpa menyentuh kawasan Parlimen lain, PAS Selangor turut mengumumkan sedia bertanding di Parlimen Gombak yang juga kini diwakili Azmin dengan alasan ia adalah kerusi PAS sebelum PKR ditubuhkan.

Katanya, kesediaan parti itu bertanding secara tiga penjuru adalah sebagai menyahut cabaran DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

DAP sebelum ini mengumumkan untuk bertanding di lapan kerusi manakala PAN semua kerusi yang ditandingi PAS di Selangor.

"Sepatutnya kerusi yang ditandingi oleh PAS, kawasan ditandingi secara tradisi oleh PAS tidak diganggu oleh DAP dan PAN. Namun, PAS Selangor bersedia menyahut cabaran dan tidak akan mengalah terhadap cadangan DAP dan PAN," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Malah, katanya PAS juga bersedia meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi oleh Barisan Nasional atau pakatan pembangkang DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pengumuman PAS Selangor itu sekali gus menamatkan spekulasi sebelum ini bahawa ia ada mengadakan perbincangan dengan PKR mengenai pembahagian kerusi yang akan ditandingi di Selangor pada PRU-14.

Ditanya adakah PAS juga akan bertanding di Parlimen Gombak, Sallehen berkata, adalah wajib bagi PAS Selangor untuk bersedia kerana ia adalah kerusi yang ditandingi parti itu sebelum ini.

"Sebenarnya sebelum ada PKR, Selangor sejak pilihan raya umum terdahulu, PAS memang amat berminat dan bertanding di banyak kerusi di Selangor.

"Malah, peringkat nak mencadangkan jawatan Menteri Besar, Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) yang mencadangkan supaya PKR menjadi Menteri Besar di Selangor bukannya PAS, walaupun PAS menang 15 kerusi ketika itu (PRU-13)," katanya.

Pada masa sama, Sallehen berkata, pihaknya belum memaklumkan kesediaan PAS untuk bertanding secara tiga penjuru atau lebih kepada Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR.

Katanya, walaupun PAS bersedia membuka pintu perbincangan dengan PKR, ia tidak semestinya membabitkan pembahagian kerusi, sebaliknya lebih kepada perbincangan mengenai pentadbiran negeri berikutan ia masih lagi dalam Kerajaan Selangor.

Berita Harian X