Rabu, 4 Oktober 2017 | 6:26pm
 Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media khas lanjutan laporan polis yang telah dilakukan oleh beliau pada awal hari ini berhubung ugutan terhadap beliau dan keluarga yang diadakan di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Petaling Jaya. - Foto NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media khas lanjutan laporan polis yang telah dilakukan oleh beliau pada awal hari ini berhubung ugutan terhadap beliau dan keluarga yang diadakan di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Petaling Jaya. - Foto NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Syed Saddiq cabar Hamidah, Kamarulzaman saman

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Abdul Rahman mencabar Datuk Hamidah Osman dan Kamarulzaman Habibur Rahman menyamannya jika benar tidak disogok wang tunai untuk meninggalkan parti.

Syed Saddiq berkata, Hamidah yang juga bekas Naib Presiden PPBM dan Kamarulzaman (bekas Setiausaha) pernah memaklumkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti yang mereka menerima beberapa tawaran daripada pihak tertentu termasuk wang tunai supaya meninggalkan parti.

"Saya cabar mereka supaya saman saya jika apa yang saya katakan ini salah. Tetapi, mereka sebelum ini pernah mengakui dan bercakap dalam mesyuarat tertinggi parti serta ketika berceramah pernah disogok wang tunai agar meninggalkan parti.

"Hal ini memang diketahui pucuk pimpinan parti dan mereka turut menyebut beberapa nama Datuk yang menawarkan pelbagai ganjaran supaya mereka meninggalkan parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di ibu pejabat PPBM di sini, petang ini.

Semalam, Hamidah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat dakwaan Syed Saddiq kerana mengaitkan namanya ditawarkan sejumlah wang sebagai dorongan meninggalkan PPBM.

Hari ini, Kamarulzaman turut membuat laporan polis dan menuntut Syed Saddiq mengemukakan bukti dalam tempoh seminggu berhubung dakwaan beliau turut menerima wang sogokan bagi meninggalkan parti itu.

Syed Saddiq berkata, beliau sedia bekerjasama dengan SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya itu terhadap Hamidah atau Kamarulzaman.

"Tidak ada masalah. Saya sedia bekerjasama membantu siasatan dengan SPRM. Mereka boleh datang menemui saya untuk mendapatkan maklumat," katanya.

Sebelum itu, Syed Saddiq berkata, beliau terpaksa membuat laporan polis hari ini selepas menerima ugutan daripada pihak tertentu menerusi telefon dengan mengirim gambar sensitif yang boleh membahayakan diri serta keluarganya, khasnya bapa serta abangnya.

"Saya menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut berhubung perkara ini. Ugutan ini muncul selepas saya tidak membaca skrip yang ditetapkan 'rangkaian sistematik dedak' pada sidang media tempoh hari," katanya.

Berita Harian X