Selasa, 31 Oktober 2017 | 7:36pm
TAKIYUDDIN Hassan

PAS tuntut Ambiga beri penjelasan

KUALA LUMPUR: PAS menggesa bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga, memberi penjelasan berhubung kenyataan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, yang menamakan beliau sebagai sumber yang menyatakan pemimpin parti itu menerima wang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Ambiga perlu bagi reaksi untuk memberi gambaran yang sebenarnya terhadap dakwaan editor terbabit adalah kenyataan dengar cakap (hear say).

Katanya, peguam PAS kini sedang mengkaji perkara terbabit dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Tuduhan Sarawak Report mengenai penerimaan wang bernilai RM90 juta oleh pemimpin tertinggi PAS dari Datuk Seri Najib Razak itu sudah dinafikan sekeras-kerasnya, " katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rewcastle-Brown menerusi pembelaannya dalam saman fitnah yang dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dilapor menamakan Ambiga sebagai sumber maklumat laporan portal kendaliannya berkaitan dakwaan pemimpin tertinggi PAS menerima wang daripada Perdana Menteri.

 

Portal The Malaysian Insight melaporkan, berdasarkan kenyataan hujah balas dan pembelaan yang diterimanya,  Rewcastle-Brown mengatakan beliau memperoleh maklumat itu selepas bercakap dengan Ambiga yang juga bekas Pengerusi Bersih itu, mengenai Najib, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PAS pada Julai 2016.

"Ambiga memberitahu bahawa sumbernya, yang mana beliau katakan boleh dipercayai, menganggarkan jumlah dibayar adalah sekitar RM90 juta," kata Rewcastle-Brown menerusi pembelaan yang difailkan kepada mahkamah bertarikh 11 Oktober lalu.  

Takiyuddin berkata, berhubung tuduhan Rewcastle-Brown itu, Presiden PAS sudah mengarahkan peguam mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, menuntut Ambiga memohon maaf susulan penjelasan Rewcastle-Brown itu.

"Dia patut minta maaf. Sebagai peguam yang memperjuangkan integriti, yang selalu perjuangkan soal kebenaran dan pilihan raya bersih, dia patut minta maaf, " katanya

21 dibaca
Berita Harian X