Ahad, 3 Disember 2017 | 2:29pm
KETUA UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (dua dari kiri) menyerahkan tilam dan bantal yang disumbangkan oleh kerajaan persekutuan kepada lebih 2,000 mangsa banjir awal bulan lalu di Dewan Transformasi UMNO Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

PAU: Ketengah isu kepincangan kerajaan PP

BUKIT MERTAJAM: Kepincangan urus tadbir kerajaan DAP Pulau Pinang menjadi isu utama yang akan dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, bermula 5 Disember ini.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, berkata beliau yang diberikan amanah oleh UMNO negeri untuk membahaskan ucapan dasar Presiden, akan menggunakan platform itu untuk mendedahkan kelemahan pentadbiran di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Katanya, kelemahan pentadbiran kerajaan negeri termasuk isu pembangunan tidak terkawal dan tambak laut menyebabkan rakyat Pulau Pinang terpaksa menanggung kesan berikutan kerakusan kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri sering bangga dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), namun Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini, menunjukkan sebaliknya terutama dalam projek pembangunan tidak terkawal di lereng bukit," katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Tilam dan Bantal kepada mangsa banjir di Wisma Transformasi UMNO Permatang Pauh, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zaidi berkata, beliau juga dalam usaha untuk menyuntik semangat kepada seluruh ahli akar umbi UMNO supaya memperkasakan jati diri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Ini adalah PAU terakhir menjelang PRU-14 dan sebagai pemimpin yang diberikan tanggungjawab saya akan cuba sedaya upaya untuk meningkatkan semangat ahli UMNO selain membuka mata rakyat menilai kerajaan mana yang lebih layak mentadbir.

"Kita kena sedarkan rakyat bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah satu-satunya parti yang membangunkan negara secara luar biasa selepas Merdeka hingga mampu mendahului Filipina yang sebelum ini pernah menjadi negara kedua terkaya," katanya.

Berita Harian X