Jumaat, 8 Disember 2017 | 1:28pm
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ahli Majlis Tertinggi serta perwakilan melaungkan 'Hidup UMNO' pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

2 jawatan utama UMNO tak dipertandingkan

KUALA LUMPUR: Tepat jam 12.40 tengah hari tadi, UMNO melakar sejarah baharu dekad ini apabila Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) sebulat suara meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin, selepas usul dicadangkan oleh wakil Pemuda dan disokong wakil Perak sebelum dibahaskan wakil negeri serta jurucakap Wanita dan Puteri.

"Di bawah Akta 5 Perlembagaan parti, usul dibawa Pemuda mengajak seluruh kekuatan dan potensi ahli dan penyokong UMNO dan komponen BN untuk meningkatkan solidariti bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Namun ada sedikit pindaan oleh Pemuda iaitu sejajar dengan Fasal 20 Perlembagaan UMNO pindaan para 5 dimasukkan perkataan-perkataan berikut:

"Justeru atas semangat kebersamaan dan kesalingan dan bagi memastikan konsep ini dapat direalisasikan, adalah dengan menjadi ketetapan untuk diputuskan dalam sidang kali ini agar jawatan Presiden, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden (Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang," katanya sebelum menangguhkan persidangan.

Pemuda UMNO ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sebagai pencadang, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz, mengemukakan satu usul tambahan supaya dua jawatan utama itu tidak dipertandingkan sebagai simbol walak kepada institusi presiden dan parti.

Usul itu disokong wakil Perak, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.

Kali terakhir jawatan Presiden UMNO dicabar dalam pemilihan parti ialah pada 1987 yang menyaksikan perebutan jawatan antara Tengku Razaleigh Hamzah dengan penyandang, Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali gus membawa kepada perpecahan UMNO.

Jawatan nombor satu parti itu hampir dicabar sekali lagi apabila Tengku Razaleigh dicalonkan untuk bertanding pada pemilihan September 2013, mencabar Najib.

Bagaimanapun Tengku Razaleigh tidak memfailkan borang pencalonan jawatan tertinggi itu, sekali gus membolehkan Najib menang tanpa bertanding.

Jawatan Timbalan Presiden kali terakhir dicabar pada 1993 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba.

Ghafar kemudian menarik diri dan membolehkan Anwar menang tanpa bertanding.

Sebulan kemudian Abdul Ghafar meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan digantikan oleh Anwar.

Berita Harian X