Jumaat, 8 Disember 2017 | 5:05pm

Rosmah solek muka Shabery

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor mencuit hati perwakilan Puteri UMNO selepas 'mengenakan' solekan di muka Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Tindakan bersahaja isteri Perdana Menteri mengundang gelak tawa, tepukan dan sorakan gemuruh hadirin.

Terdahulu, Rosmah menyempurnakan Majlis Pelancaran Puteri Mobil Spa dengan kerjasama Kementerian Asas Tani dan Industri, di Laman Puteri, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Butterfly Spa, Arlina Rosli, berkata pihaknya menyediakan pakej kecantikan merangkumi latihan akademi bertauliah selain menyediakan kit solekan bagi mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan berkonsepkan mobil spa.

Beliau yang juga Ketua Puteri Bahagian Dungun, berkata individu terbabit diberi pilihan untuk menjalankan perniagaan di rumah atau bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

"Kita juga tawar Puteri yang sudah mempunyai produk untuk memasarkan kepada ejen kami untuk digunakan nanti.

"Pada masa sama, kita bekerjasama dengan pengusaha kecantikan lain bagi menukar pendapat sekali gus memastikan perniagaan dijalankan lebih mantap dan berkesan," katanya.

ROSMAH 'mengenakan' solekan di muka Shabery menyempurnakan Majlis Pelancaran Puteri Mobil Spa di Laman Puteri, PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.
Berita Harian X