Jumaat, 8 Disember 2017 | 5:36pm
PRESIDEN UMNO Datuk Seri Najib Razak (kanan) bersama Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin ketika sesi perbahasan pada hari kedua Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. -Foto BERNAMA

'Jangan pertikai keputusan perwakilan'

KUALA LUMPUR: Keputusan perwakilan UMNO supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun depan yang diputuskan hari ini, tidak melanggar perlembagaan parti.

Ketua Setiausaha Bahagian Ibu Pejabat UMNO, Datuk Nor Azuwan Aziz, berkata keputusan itu bukan sesuatu yang luar biasa dan pernah dilaksanakan.

"Ini adalah keputusan tertinggi yang mana perwakilan putuskan dalam Perhimpunan Agung parti, " katanya mengulas kebimbangan beberapa pihak berhubung keputusan terbaru mengenai dua jawatan tertinggi yang tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun depan.

Perhimpunan Agung UMNO 2017 meluluskan usul dikemukakan Pemuda supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun depan.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin Amiruldin, selepas usul dicadangkan oleh wakil Pemuda dan disokong oleh wakil Perak sebelum dibahaskan wakil negeri serta jurucakap Wanita dan Puteri.

Mengenai kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk jawatan Timbalan Presiden memandangkan beliau kini menjalankan tugas Timbalan Presiden dan masih Naib Presiden parti, Nor Azuwan berkata, ia tidak menjadi masalah.

"Seperti amalan sebelum ini, walaupun diputuskan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, Presiden dan Timbalan Presiden masih perlu menghantar borang pencalonan untuk jawatan berkenaan," katanya.

Berita Harian X