Selasa, 23 Januari 2018 | 5:15pm
PROF Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.- Foto Adi Safri
FATIN Nabila Razali

'Pandangan negatif Tun M tidak adil'

KUALA LUMPUR: Graduan menjual nasi lemak atau menjadi pemandu perkhidmatan e-hailing seperti Uber, harus dibanggakan kerana institusi pengajian tinggi (IPT) berjaya melahirkan lulusan serba boleh sejajar matlamat penerapan ilmu keusahawanan.

Pegawai Perhubungan Persatuan Alumi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Fatin Nabila Razali, berkata justeru beliau kesal dan menyifatkan pandangan negatif Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap perkara itu sebagai tidak adil.

Beliau berkata, rata-rata graduan memiliki ijazah sebagai kapasiti menuntut ilmu tetapi bukan semua mahu bekerja dalam bidang pengajian yang diikuti.

"Graduan kini tidak sama dengan yang dulu. Mereka berfikiran terbuka, malah lebih suka berkecimpung dalam dunia keusahawanan dan bangga sekiranya dapat menjadi bos berbanding kerja makan gaji.

"Tun (Dr Mahathir) tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana pekerjaan terbabit mungkin boleh turut membina kemahiran lain seperti komunikasi dan tidak cepat berputus asa," katanya kepada BH.

Dr Mahathir menerusi sesi soal jawab video dalam Facebook baru-baru ini, dilaporkan sebagai berkata, tiada yang perlu dibanggakan jika lulusan universiti menjual nasi lemak dan memandu Uber sebagai punca rezeki, malah menyifatkan perkembangan itu memalukan negara.

Fatin Nabila berkata, pendidikan keusahawanan dan kursus pendek dipelajari di universiti turut membantu anak muda menjana pendapatan sendiri melalui pelbagai kaedah.

"Yang paling penting, graduan tidak berpeluk tubuh sahaja. Saya seorang yang pemalu dulu tetapi apabila berniaga, sedikit demi sedikit perasaan itu hilang dan semakin berani selepas menyandang jawatan tetap," katanya.

Bagi ahli Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anis Humaira' Azman, 21, kebijaksanaan graduan diukur daripada keupayaan mereka mengadaptasi kemahiran dimiliki untuk menjana sumber pendapatan.

Dalam konteks ini, pelajar Ijazah Sarjana Muda Optometri itu berkata, menceburi bidang perniagaan mahupun menjadi pemandu perkhidmatan e-hailing ada kelebihan tersendiri.

"Jika peluang pekerjaan itu berupaya menjana sumber pendapatan, ia menandakan ekonomi negara berada dalam keadaan baik.

"Dalam keadaan mencabar kini, setiap graduan perlu bijak melengkapkan diri dengan kemahiran tertentu kerana majikan tidak lagi melihat ijazah dimiliki tetapi nilai tambah.

"Tun (Dr Mahathir) perlu faham, pelajar sekarang suka mencuba. Mereka mahu memiliki ijazah tetapi tidak begitu kisah bentuk pekerjaan diceburi asalkan memberi pulangan baik kerana berkemampuan untuk bersaing," katanya.

Sementara itu Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata persepsi bahawa graduan mesti mendapat pekerjaan mengikut kelulusan dimiliki tidak lagi relevan kerana perubahan sosial masyarakat kini.

"Saya yakin pekerjaan sambilan seperti menjual nasi lemak atau menjadi pemandu perkhidmatan e-hailing, dapat memberi pengalaman baharu kepada graduan sebelum menyertai sektor pekerjaan tetap," katanya.

Berita Harian X