X
Sabtu, 24 Februari 2018 | 4:09pm
ISMAIL Sabri pada program Bengkel Kemahiran Keibubapaa Tabika/Taska Permata KEMAS dan Perasmian Mesyuarat Agung Berkelompok Aktiviti KEMAS Parlimen Bera di Dewan Kompleks Rakan Muda, Bera. - Foto Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman
ISMAIL Sabri pada program Bengkel Kemahiran Keibubapaa Tabika/Taska Permata KEMAS dan Perasmian Mesyuarat Agung Berkelompok Aktiviti KEMAS Parlimen Bera di Dewan Kompleks Rakan Muda, Bera. - Foto Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Tabika transit KEMAS diperluas

BERA: Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) transit Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan diperluaskan ke kawasan kampung jika mendapat permintaan ramai ibu bapa.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini, pusat jagaan transit itu diwujudkan di kawasan bandar dan pinggir bandar.

"Kita lebih memilih bandar dan pinggir bandar kerana di sini ramai ibu bapa yang bekerja. Di kampung pula, kita akan perluaskan nanti jika ada permintaan.

"Bagaimanapun, ia adalah pilihan. Ia lebih menjurus kepada mengelakkan ibu berhenti kerja mahupun terpaksa belanja besar bagi mendapatkan khidmat orang gaji," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Bengkel Kemahiran Keibubapaan Tabika/Taska Permata KEMAS dan Perasmian Mesyuarat Agung Berkelompok Aktiviti KEMAS Parlimen Bera di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Amiruddin Ariffin, Pengarah KKLW Pahang, Datuk Mohd Aruwan Ab Aziz, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP) Pahang, Datuk Seri Affandi Hamzah.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, setakat ini, ada 27 Tabika transit KEMAS yang beroperasi sehingga jam 5.30 petang.

Sementara itu, beliau berkata, KEMAS akan bekerjasama dengan SWCORP bagi membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan pelajar KEMAS melalui penghasilan modul bersama amalan 3R (pengurangan, guna semula dan kitar semula).

"Di KEMAS kita ada buat amalan (3R) ini tetapi adalah lebih baik dengan adanya buku panduan daripada SWCORP. Kita juga ada meletakkan kotak bagi memudahkan pelajar mengasingkan bahan pepejal seperti kayu, kertas dan plastik.

"Kita percaya budaya kebersihan seperti menyusun kasut, membersihkan meja dan mencuci pinggan selepas makan dapat memberi kesedaran pada peringkat awal kepada pelajar," katanya.

Berita Harian X