Sabtu, 10 March 2018 | 10:59am

Pembangkang kitar semula manifesto: Tengku Adnan

PUTRAJAYA: Manifesto sesebuah parti politik perlu realistik dan tidak boleh hanya bersifat populis kerana ia adalah janji yang mesti ditunaikan kepada rakyat yang mengundi.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata apabila manifesto sudah diumumkan maka ia perlu ditunaikan.

"Manifesto ini adalah janji tetapi jika pemimpin dia sendiri (pembangkang) sebelum ini pernah mengatakan bahawa ia bukan janji, ini jadi masalah.

"Apa yang diumumkan PH (Pakatan Harapan) hanya bersifat populis dan mahu meraih populariti saja, sedangkan itu janji yang mesti ditunaikan.

"Pada saya dia cuba tipu rakyat sekali lagi kerana pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini pun mereka tipu rakyat. Manifesto yang dibuat tidak ditunaikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvoi Berbasikal Wanita 2018 sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini, hari ini.

Kira-kira 10,000 peserta menyertai konvoi berbasikal berkenaan anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan, dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj), Yayasan Kesejahteraan Bandar dan Biro Sukan UMNO Putrajaya itu.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata manifesto yang diumumkan PH juga bukan perkara baharu malah ia sudah pun dilaksanakan kerajaan BN sekarang.

"Mereka hanya banyak kitar semula apa yang kita (kerajaan BN) sudah buat sebelum ini.

"Saya berkeyakinan rakyat tidak akan diperbodohkan oleh mereka (pembangkang) pada kali ini," katanya.

12 dibaca
MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika sidang media selepas merasmikan Konvoi Berbasikal Wanita 2018 sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia yang disertai kira-kira 10,000 peserta di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X