Ahad, 18 March 2018 | 11:08pm
MUKHRIZ pada sidang media khas Pakatan Harapan di Senawang, Negeri Sembilan, hari ini. - Foto Adzlan Sidek

Pakatan akan pecat pegawai tinggi kerajaan - Mukhriz

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang akan memecat semua pegawai tinggi kerajaan jika menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Kalau kami berjaya menubuhkan kerajaan dengan mandat (yang diberikan) tuan-tuan dan puan-puan, saya boleh memasukkan janji dalam 30 hari, kami akan pecat semua pegawai tinggi kerajaan.

"Ini melampau. Kalau nak berpihak kepada 'government of the day' itu tak apa. Tapi mereka melampaui batas (dengan) melindungi penjenayah.

"Bagi kami (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib Razak itu penjenayah. Ia satu yang tak boleh diterima," kata Mukhriz pada sesi dialog di Senawang, Negeri Sembilan hari ini seperti yang disiarkan sebuah portal berita.

Beliau berkata demikian menjawab soalan wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang turut hadir dalam dialog itu.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, pegawai tinggi kerajaan memegang amanah untuk menjaga kepentingan rakyat dan bukannya menjaga individu tertentu.

Selain itu, PH juga akan mengubah cara pelantikan jawatan utama dalam badan kerajaan supaya ditentukan oleh Ahli Parlimen sebelum dikemukakan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, ia termasuk pelantikan untuk jawatan Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara.

Menjawab soalan mengenai pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang, Mukhriz berkata, perkara itu diputuskan kerana Dr Mahathir mempunyai kewibawaan untuk mencabar pimpinan Najib.

"Yang betul-betul boleh kalahkan Najib Razak dan (isterinya) Rosmah Mansor dan seluruh jentera Barisan Nasional (BN), tak lain tak bukan hanya Tun Dr Mahathir Mohamad yang layak," katanya.

Mukhriz berkata, dua nama yang diumumkan oleh pakatan pembangkang sebagai calon Perdana Menteri dan timbalannya sebelum ini adalah yang terbaik untuk meraih sokongan rakyat.

Konvensyen pakatan pembangkang pada Januari lalu, mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri jika pembangkang memenangi PRU-14, manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pula sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Berita Harian X