Ahad, 18 March 2018 | 11:43pm
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa sidang media selepas syarahan perdana sempena pelancaran Manifesto Gagasan Sejahtera PAS di Astana Banquet Hall, Cyberjaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

20 tawaran dalam manifesto GAGASAN

CYBERJAYA: Gagasan Sejahtera (GAGASAN) diterajui PAS melancarkan manifesto Malaysia Sejahtera yang menawarkan 20 perkara utama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi GAGASAN, Datuk Seri Hadi Awang, berkata tawaran kepada kumpulan sasar itu dalam bentuk dasar dan penyelesaian bagi mengatasi bebanan rakyat dalam jangka masa pendek dan panjang.

"Antara tawaran itu termasuk memperkasa peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai Ad-din. Kita boleh tangani masyarakat majmuk dan pada masa sama wajib berlaku adil terhadap semua rakyat.

"Selain itu menghapus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menggantikan dengan sistem cukai yang lebih adil. Malah ketika menggunakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kita juga melihat banyak kekurangan selain banyak berlaku ketirisan dalam hasil tanpa cukai.

"Kita juga akan melupuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerana sekiranya tidak ada ketirisan, peruntukan yang ada cukup untuk meringankan beban pendidikan anak muda," katanya pada sidang media pelancaran manifesto berkenaan di sini, malam ini.

Selain itu Hadi yang juga Presiden PAS berkata, kadar bayaran tol juga akan distruktur semula bagi mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun.

"Kadar tol sepatutnya makin hari makin turun, bukan makin hari makin naik, bergantung kepada kajian yang dibuat, secara mudah, kita pernah hapuskan tol di Terengganu pada 1999. Alternatifnya (untuk tampung) kita tambah cukai kepada kalangan korporat dan industri," katanya.

Selain itu antara tawaran lain dalam manifesto berkenaan termasuk pengurangan harga rumah mampu milik antara RM50,000 hingga RM180,000, dan mengembalikan sistem kuota di universiti awam.

Selain PAS, GAGASAN yang membentuk blok ketiga kini dianggotai dua lagi parti politik iaitu Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan terbaru, Barisan Jemaah Ismaiah Se-Malaysia (BERJASA). Turut menganggotai GAGASAN ialah kira-kira 200 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

145 dibaca
Berita Harian X