Selasa, 3 April 2018 | 4:20pm

Peluang terbaik rampas Kelantan

KUALA KRAI: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah peluang terbaik Barisan Nasional (BN) untuk menebus maruah dengan merampas Kelantan selepas 27 tahun diperintah PAS.

Timbalan Perdana Menteri berkata, melihatkan semangat yang ada pada rakyat Kelantan hari ini, beliau yakin BN mampu memperoleh kemenangan menerusi kerja keras jentera parti.

"Ini masa dan ketikanya untuk kita merebut peluang yang ada selepas 27 tahun Kelantan diperintah PAS. Kita beruntung Kelantan diketuai (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Mustapa seorang yang tinggi istiqamah, prestasi terbaik selain komitmen tinggi. Sekiranya dapat sokongan seluruh rakyat Kelantan, Mustapa berjanji akan melakukan transformasi terhadap negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang di sini, hari ini.

Turut hadir, Mustapa dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman.

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga akan meluluskan peruntukan RM6.5 juta jika Parlimen Kuala Krai serta empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen dimenangi BN.

Katanya, peruntukan itu meliputi pembinaan lima surau di Rumah Kekal Banjir (RKB), baik pulih rumah daif, badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu banjir pada 2014 serta pembinaan jambatan.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang, Kuala Krai, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X