Khamis, 5 April 2018 | 5:58pm
PENGANALISIS politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi. - Foto Nik Hariff Hassan

Manifesto BN realistik

JOHOR BAHRU: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang akan dilancarkan Sabtu ini, dilihat menjurus ke arah menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan tidak akan memandang ke belakang demi menjamin kesejahteraan segenap lapisan masyarakat.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata manifesto itu juga akan merangkumi segenap aspek, termasuk ekonomi, sosial, kerajaan tempatan dan dasar negara.

Katanya, apa pun yang akan terkandung dalam manifesto itu, keseluruhannya ia memberi penekanan kepada meningkatkan kesejahteraan rakyat di negara ini.

"Manifesto ini saya lihat satu ikrar dibuat BN bersama parti komponen bagi memperbaharui komitmen untuk menjana pembangunan ekonomi dan transformasi negara sesuai dengan acuan negara sekarang ke arah TN50.

"Ia (manifesto) akan ke arah itu, tidak lihat ke belakang dan bukan nostalgia, sebaliknya realistik demi kesejahteraan rakyat," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Awang Azman yang juga Pensyarah di Jabatan Sosiobudaya Akademi Pengajian Melayu UM berkata, selepas langkah terakhir BN mensejahterakan penjawat awam menerusi beberapa pengumuman semalam, manifesto itu juga akan merangkumi konteks yang lebih meluas serta mendalam.

Manifesto BN yang akan dilancarkan pada jam 8 malam, Sabtu ini, di Axiata Arena, Bukit Jalil, dijangka dihadiri seramai 40,000 ahli parti BN dari seluruh negara.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pengumuman manifesto oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak akan turut disiarkan secara langsung di televisyen.

Berita Harian X