Ahad, 8 April 2018 | 5:43pm
PENGANALISIS politik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir.

`Ukur baju di badan sendiri'

KUALA LUMPUR: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dilancarkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, semalam bersifat inklusif dengan menyentuh segenap lapisan masyarakat, tanpa mengabaikan aspirasi Sabah dan Sarawak.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir, berkata manifesto kali ini adalah satu aku janji yang betul-betul menterjemahkan hasrat dan keinginan rakyat.

Katanya, manifesto itu dirangka untuk memastikan Malaysia terus berada di landasan yang betul dan stabil, sekali gus mengukuhkan ekonomi, alam sekitar, sosial dan keselamatan.

"Manifesto ini merangkumi semua bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan hak asasi rakyat.

"Ia menggambarkan komitmen jitu BN dan keinginan padunya untuk memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat terus dibela serta diambil kira.

"Soal masa depan yang menjadi keutamaan serta hasrat BN melalui manifesto ini, untuk mentrasformasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berdaya saing," katanya ketika dihubungi wartawan NSTP, hari ini.

Jeniri yakin manifesto BN bukan sekadar janji untuk menambat hati lebih 14,9 juta pengundi, sebaliknya ia lebih daripada itu.

Berdasarkan rekod prestasi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang keseluruhan janjinya hampir dicapai, beliau percaya BN juga akan mampu memenuhi janji kali ini.

"Tiada masalah untuk BN penuhi janji ini. Kita tengok ada juga melebihi janji seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) dan sebagainya.

"Saya amat percaya BN mengukur baju di badannya sendiri," katanya.

Berita Harian X