Ahad, 8 April 2018 | 5:49pm
PENGANALISIS politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul. - Foto Eizairi Shamsudin

GST dikembalikan kepada rakyat

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan menjanjikan sesuatu yang tidak boleh dilaksanakan dalam manifestonya.

Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul, berkata jika dilihat rekod prestasi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), janji dalam manifesto BN setakat ini sudah hampir semuanya dilaksanakan.

Beliau berkata, maksudnya, BN apabila berjanji, kepemimpinan parti itu akan sedaya-upaya mengotakan janji yang dibuat demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat negara ini.

"BN tidak pernah buat sebarang pusingan U. BN akan laksanakan demi rakyat. Menguatkan lagi hal ini adalah rekod prestasi BN sebelum ini amat baik.

"Bermula sebagai Parti Perikatan dan sehingga dikenali sebagai BN, parti itu ada rekod prestasi yang baik sejak perintah negara pada zaman merdeka lagi sehingga sekarang.

"Sepanjang zaman itu, BN dilihat tidak pernah abaikan janji," katanya ketika dihubungi wartawan NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut, Ainul Adzellie menegaskan prestasi ekonomi negara yang semakin baik tahun demi tahun adalah antara indikator yang membuktikan BN mampu laksanakan apa yang dijanjikan.

Beliau yakin, indikator kadar hutang negara kini yang berlegar sekitar 53 peratus, peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan nilai ringgit mengukuh adalah yang terbaik.

Selain itu, katanya, manifesto BN kali ini bersifat holistik kerana merangkumi bukan sahaja golongan berpendapatan rendah (B40), malah juga mencakupi golongan berpendapatan sederhana (M40), belia, selain melangkaui segenap lapisan masyarakat.

"Ini dinamakan rantaian ekonomi (cycle of economy). Ekonomi yang baik dan kutipan GST (cukai barang dan perkhidmatan) yang dikutip dikembalikan kepada rakyat.

"Jadi, kita nampak perjalanan duit ini meskipun terdapat pertikaian, tetapi sebenarnya ia diberikan kepada rakyat," katanya.

Berita Harian X