Isnin, 9 April 2018 | 4:35pm

Antara manifesto masa depan, zaman silam

KUALA LUMPUR: Manifesto Barisan Nasional (BN) adalah cerminan hala tuju negara, berbanding sekadar gula-gula yang 'disajikan' untuk menagih undi dan mandat daripada rakyat.

Perbandingan dengan manifesto Pakatan Harapan dan blok ketiga pembangkang, iaitu Gagasan Sejahtera juga menyaksikan beberapa janji yang ditabur bersifat jumud kerana sudah dilaksanakan kerajaan selama ini.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata penelitian menerusi tiga aspek iaitu pendidikan, ekonomi dan hal ehwal lain menunjukkan dokumen setebal 262 muka surat yang dikemukakan BN berupaya menjadi pemangkin untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 20 negara terbaik dunia.


PENGANALISIS politik, Prof Datuk Dr Abdul Halim SidekA. - Foto Asyraf Hamzah

Katanya, ia adalah kesinambungan pembangunan negara yang digarap menerusi acuan 'suara' rakyat dan keutuhan fiskal, tanpa merencatkan pertumbuhan ekonomi kerana tidak menyajikan dasar populis.

"Tiga juta peluang pekerjaan yang dijanjikan adalah rasional seiring pelbagai projek pembangunan mega dan kemudahan rakyat membabitkan beberapa lokasi strategik di kawasan desa, sekali gus merapatkan jurang ekonomi dengan bandar.

"Pakatan Harapan hanya menjanjikan sejuta peluang pekerjaan kerana mereka tidak membentangkan sebarang rangka projek pembangunan yang berupaya menjana sosioekonomi penduduk," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Abdul Halim berkata, generasi FELDA yang menjadi 'tulang belakang' sektor pertanian negara, sejak pembukaan tanah rancangan di Lurah Bilut pada 1959 tidak pernah dipinggirkan.

Malah, katanya, mereka dijanjikan pelupusan hutang peneroka dan beberapa inisiatif sokongan lain bertujuan untuk memacu taraf kehidupan.

"Pakatan Harapan hanya berjanji untuk lupuskan hutang peneroka, tetapi BN menyediakan geran khas tanaman dan dana khas pelupusan hutang luar biasa yang menepati kekangan semasa mereka.

"Apabila bebas daripada cengkaman hutang, struktur kewangan peneroka FELDA lebih anjal dalam menentukan perkiraan pelaburan dan meningkatkan kuasa membeli," katanya.

Berhubung penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Abdul Halim berkata, pembangkang merancang mengembalikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tetapi mereka tidak menyatakan pelan lanjutan bagi memastikan kutipan RM44 bilion, setakat 2017 umpamanya berupaya diraih daripada sumber lain.

Katanya, pendapatan sedemikian penting dalam menjana pertumbuhan negara susulan langkah mengurangkan kebergantungan terhadap sektor minyak dan gas yang ketika ini berkadar 15 peratus, berbanding 41 peratus pada 2009.

"Oleh itu, jangan sekadar janji nak hapuskan GST, sebaliknya kemukakan pelan strategik atau mekanisme lain yang mampu menjana pendapatan pada kadar sama supaya tidak mewujudkan kelompangan terhadap fiskal negara," katanya.

Menyentuh langkah pemerkasaan wanita, Abdul Halim berkata, janji mewujudkan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khas untuk suri rumah dilaksanakan BN sejak 2000, menerusi Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diperluaskan untuk manfaat golongan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, ia memberi gambaran bahawa Pakatan Harapan memperakui inisiatif dilaksanakan BN membuahkan hasil dan berkesan dalam menangani rangkaian masalah rakyat.

"Selama ini berdegar-degar mengkritik BN dan kerajaan, kononnya gagal menangani pelbagai isu rakyat, namun akhirnya meniru inisiatif berkenaan dengan memasukkannya dalam manifesto mereka (Pakatan Harapan)," katanya.

14 dibaca
Berita Harian X