Ahad, 22 April 2018 | 6:07pm

BN pilih calon terbaik - Ahmad Razif

KUALA TERENGGANU: "Yakinlah, ini adalah calon terbaik yang dikehendaki akar umbi," kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman selepas mengumumkan nama semua calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.

Beliau juga menyifatkan senarai calon yang terdiri daripada muka lama termasuk bekas wakil rakyat yang tidak bertanding pada PRU-13 dan yang baru satu gandingan ampuh yang boleh menjamin BN untuk terus menerajui negeri ini.

"Pemilihan (calon) kali ini menggunakan konsep inklusif dan memang dikehendaki akar umbi berasaskan kajian dan penyelidikan parti serta beberapa sumber lain termasuk dari negeri ini.

"Kita yakin dan percaya gabungan calon 'veteran' yang mempunyai pengalaman luas ini dapat membantu terutama kepada muka baru dan membolehkan BN bukan saja mengekalkan kerusi sedia ada, malah menambah kerusi yang tidak menang sebelum ini," katanya di Kediaman Seri Iman di sini, hari ini.

Pada pengumuman dilakukan jam 11.08 pagi tadi, satu kejutan besar berlaku apabila nama Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari tidak disenaraikan.

Tempat Jailani di Parlimen Hulu Terengganu digantikan dengan Datuk Rosol Wahid yang pernah menduduki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil selama tiga penggal mulai 1999 hingga 2013.


PENGERUSI BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (kanan) bersama barisan calon Parlimen dan DUN Terengganu yang akan bertanding pada PRU-14 pada majlis pengumuman di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seri Iman. - Foto Ghazali Kori

Mengulas ketidakpuasan hati yang mungkin timbul berikutan beberapa nama penyandang kerusi digugurkan, Ahmad Razif berkata, perkara itu bukan masalah besar dan yakin dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

"Biasalah, tidak semua orang akan berpuas hati, terutama bagi mereka yang berhajat untuk menjadi calon, tetapi yakin dan percayalah, bahawa calon-calon ini adalah yang terbaik, berasaskan kajian yang telah dibuat oleh jabatan di Pejabat Perdana Menteri sendiri dan sumber lain termasuk di Terengganu.

"Kita dah buat persediaan untuk krisis sebegini dan dalam sehari dua, insya-Allah selesai," katanya.

Seramai 15 calon membuat penampilan sulung pada PRU kali ini iaitu bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail bagi Parlimen Kuala Terengganu; pakar motivasi Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad (Parlimen Kuala Nerus); Pegawai Pembangunan Kuala Nerus , Datuk Basir Ismail (DUN Tepoh); Pegawai Pembangunan DUN Wakaf Mempelam, Salleh Othman (DUN Wakaf Mempelam) dan usahawan Toh Seng Cheng (DUN Bandar).

Turut dicalonkan ialah Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi (DUN Ladang); Pegawai Pembangunan Bukit Payung Mohamad Nor Endot (Parlimen Marang); Pegawai Pembangunan DUN Alor Limbat, Datuk Saiful Bahri Datuk Baharuddin (DUN Alor Limbat); Pegawai Penyelaras DUN Rantau Abang, Wan Zaulkfli Wan Gati (DUN Rantau Abang) dan Pegawai Pembangunan DUN Paka, Tg Hamzah Tg Deraman (DUN Paka).

Dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said turut dikekalkan bertanding mempertahankan kerusi masing-masing di Parlimen Besut dan DUN Kijal.


CALON Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh (kiri) bersalaman dengan Calon ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said (kanan) selepas Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (tengah) mengumumkan calon BN yang akan bertanding pada PRU-14. - Foto Rozainah Zakaria

Turut ditampilkan, dua calon wanita iaitu Ketua Pergerakan Wanita UMNO Marang yang juga EXCO Pergerakan Wanita Malaysia Toh Puan Zaitun Mat Amin (DUN Bukit Payung) dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Dungun merangkap Pegawai Pembangunan DUN Sura, Datuk Zainun A Bakar (DUN Sura).

Seramai 16 ADUN kekal di kawasan masing-masing manakala empat calon yang disenaraikan semula ialah Rosol (Parlimen Hulu Terengganu); Datuk Din Adam (Parlimen Dungun); Datuk Halim Jusoh (DUN Permaisuri) dan Datuk Mohamed Awang Tera (DUN Chukai) manakala seorang lagi penyandang, Datuk Mohamad Jidin Shafee bertukar ke Parlimen Setiu.

17 dibaca
Berita Harian X