Khamis, 26 April 2018 | 3:45pm
KETUA Menteri Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman bersalaman dengan calon-calon BN selepas Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) Negeri Sabah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Kota Kinabalu. - NSTP/MALAI ROSMAH TUAH

BN Sabah pertaruhkan 23 muka baharu, orang muda

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menampilkan 23 muka baharu, masing-masing 17 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam daripada 25 Parlimen untuk menggalas cabaran mengekalkan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Daripada jumlah itu, enam adalah orang muda berumur bawah 40 tahun dengan calon Parlimen Penampang daripada Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Ceaser Mandela Malakun paling muda, berumur 27 tahun.

Lima lagi ialah Loo Suh Fui, 37, daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) di DUN Sri Tanjong; Lim Ting Kai, 35, daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) di DUN Merotai dan Chan Tzun Hei, 35, mewakili GERAKAN di DUN Elopura.

Arthur Joseph Kurup, 36, daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menggantikan tempat bapanya, tan Sri Joseph Kurup yang memberi laluan di Parlimen Pensiangan dan Ewon Benedick, 35, daripada UPKO di DUN Kadamaian.

Turut tersenarai ialah beberapa pemimpin Pemuda dan Wanita, antaranya Ketua Pemuda UMNO Sabah, Yamani Hafez Musa (Parlimen Sipitang); Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar (DUN Kemabong); Ketua Wanita UMNO Silam; Mizma Apehdullah (DUN Tungku) dan Exco Wanita PBS, Julitah Majungki (DUN Matunggong).

Muka baharu yang lain ialah bekas Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir di DUN Paginatan; bekas Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Osman Jamal di DUN Balung dan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (DUN Apas).

Yang lain antaranya ialah Naib Presiden PBS, Datuk Daniel Kinsik (Parlimen Keningau); Timbalan Pengerusi MCA Sabah,Datuk Francis Goh (DUN Kapayan); Bendahari UMNO Semporna, Datuk Abdul Razak Sakaran dan bekas Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang, Matbali Musah (DUN Lumadan).

Semua senarai calon itu diumumkan oleh Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman di Bangunan UMNO negeri di sini, hari ini.

Seramai 37 penyandang DUN dan 14 Parlimen yang bertanding pada PRU-13 dikekalkan termasuk Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman di DUN Sungai Sibuga; Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di DUN Tambunan dan tiga menteri serta empat timbalan menteri Pusat.

Menteri Persekutuan yang dikekalkan ialah Datuk Dr Maximus Ongkili (Kota Marudu), Datuk Madius Tangau (Tuaran) dan Datuk Anifah Aman (Kimanis), manakala timbalan menteri ialah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (Papar), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Mary Yap Kain Ching (Tawau) dan Datuk Datu Nasrun Datu Mansur (Silam).

Tujuh calon bertukar kerusi, antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dari Kota Belud ke Sepanggar dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dari DUN Usukan ke Parlimen Kota Belud.

Turut bertukar kerusi ialah Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Sapawi Ahmad dari Parlimen Sipitang ke DUN Sindumin; penyandang kerusi Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol ke DUN Gum-Gum, manakala penyandang DUN Gum-Gum, Datuk Zakaria Edris ke Parlimen Libaran.

Selebihnya ialah Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Ramlee Marahaban daripada DUN Bugaya ke Parlimen Semporna dan penyandang DUN Kemabong, Datuk Rubin Balang ke kerusi Parlimen Tenom.

Dalam pada itu, seramai 10 penyandang digugurkan atau tidak bertanding pada PRU-14 antaranya Datuk Charles Pang (DUN Karamunting), Datuk Kamarlin Ombi (DUN Lumadan), Datuk Ahmad Bujang (DUN Sindumin), Datuk Syed Abas Syed Ali (DUN Balung) dan Datuk Au Kam Wah (DUN Elopura).

BN Sabah turut menampilkan semula empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak dicalonkan pada PRU lalu iaitu Datuk Japlin Akim (DUN Usukan), Datuk Johnny Goh (DUN Inanam), Datuk Donald Mojuntin (DUN Moyog) dan Datuk Harman Mohamad (DUN Sulabayan).

169 dibaca
Berita Harian X