Sabtu, 28 April 2018 | 5:10pm
LIMA Calon Barisan Nasional Parlimen dan Dun Jelebu (dari kanan) Seet Tee Gee, Noor Azmi Bin Yusof, Datuk Jalaluddin Bin Alias, Datuk Baharudin Jali dan Mohd Razi Mohd Ali sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan D'Sury Majlis MDJ Kuala Klawang. - Foto Adzlan Sidek
LIMA Calon Barisan Nasional Parlimen dan Dun Jelebu (dari kanan) Seet Tee Gee, Noor Azmi Bin Yusof, Datuk Jalaluddin Bin Alias, Datuk Baharudin Jali dan Mohd Razi Mohd Ali sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan D'Sury Majlis MDJ Kuala Klawang. - Foto Adzlan Sidek

Jalaluddin pecat kawan belot bertanding parti lawan

JELEBU: Walaupun sudah lama berkawan, tetapi calon Parlimen Jelebuh, Datuk Jalaluddin Alias tidak ada pilihan terpaksa memecat rakannya, Osman Muhd Dusa kerana bertanding di atas tiket PKR untuk DUN Pertang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Dulu kami bersama-sama menggerakkan parti dan mengerah keringat membantu rakyat tetapi sekarang beliau di jalan berbeza, namun UMNO tetap terbuka untuknya," katanya.

Jalaluddin berkata, Osman menjadi ahli UMNO antara 30 hingga 40 tahun lalu bahkan mungkin lebih awal daripadanya.

"Selepas pilihanraya ini berakhir, saya akan memecat Osman kerana setakat ini belum menerima surat peletakan jawatan beliau. Jawatan terakhirnya adalah Ketua Penerangan UMNO Bahagian sejak 2013 hingga kini," katanya ditemui di Dewan D'Sury, Kuala Klawang, di sini selepas selesai proses penamaan calon, hari ini.

Jalaluddin berkata, UMNO membuka pintu untuk ahlinya memilih jalan perjuangan selepas perselisihan faham menemui jalan buntu. Ketua UMNO Bahagian Jelebu yang juga penyandang kerusi DUN Pertang itu berkata, beliau berharap Osman bersama pakatan pembangkang berkempen secara sihat dan mengamalkan demokrasi bersih untuk kesejahteraan rakyat.

"Saya sangat mengenali Osman kerana beliau antara ahli UMNO terawal di Jelebu, begitu juga ibu bapa dan keluarganya. Tidak boleh dinafikan Osman menikmati pelbagai nikmat hasil perjuangan parti keramat ini," katanya.

Sementara itu Osman mendakwa beliau keluar parti melalui UMNO Cawangan Kampug Gagu, di sini pada 2016 sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketua Penerangan pakatan pembangkang negeri itu berkata, beliau memiliki pemikiran tersendiri dan menyerah kepada rakyat untuk memilih.

"Saya sangat menghormati Datuk Jalaluddin kerana kami dahulu di dalam satu parti, malah turun padang bersama membantu rakyat. Walaupun kini di laluan berbeza, dia tetap sahabat saya," katanya ditemui bersama Jalaluddin.

Berita Harian X