Khamis, 3 Mei 2018 | 2:01pm
PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias (dua kanan) melawat gerai pameran pada program anjuran bersama Pejabat Pertanian Jelebu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang di Jelebu. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Yakin menang 4 DUN di Parlimen Jelebu

JELEBU: Seramai 1,500 penduduk di Kuala Klawang, hari ini mendapat sayur percuma dalam program anjuran bersama Pejabat Pertanian Jelebu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang di sini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, program itu memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat mendapatkan hasil pertanian seperti petola, sawi, kangkung dan sebagainya.

Katanya, masyarakat turut diberikan maklumat terkini berkaitan benih tanaman dan peralatan pertanian yang boleh diusahakan sebagai sumber pendapatan.

"Jelebu ialah kawasan berpotensi tinggi untuk kegiatan pertanian dan perniagaan berasaskan pertanian. Kita (BN) mempunyai perancangan jangka panjang jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini," katanya ketika ditemui di program berkenaan. Hadir sama, calon BN di DUN Klawang, Datuk Baharudin Jali.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata tahap sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat terutama di DUN Klawang dan Chennah berdasarkan kempen yang dijalankan setakat ini.

"Penerimaan itu disebabkan calon dikenali penduduk, sebagai contoh calon di DUN Pertang, Noor Azmi Yusof yang juga anak tempatan dan bekas guru besar.

"Kami berkeyakinan tinggi untuk menang di semua empat DUN dan Parlimen pada PRU kali ini berdasarkan sokongan yang ditunjukkan orang ramai," katanya.

Berita Harian X